Bukit Aman siasat pakej haji, umrah, badal haji 2021

90

10 JUN: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengesan kegiatan beberapa agensi pelancongan yang dikesan cuba menipu orang ramai dengan menggunakan taktik membuat promosi tawaran pakej haji, umrah dan badal haji bagi tahun 2021.

Pengarahnya, Datuk Kamarudin Md Din, berkata promosi seumpama itu adalah amat meragukan kerana berikutan kerajaan sekarang menguatkuasakan sekatan perjalanan penuh ke luar negara berikutan penularan wabak pandemik COVID-19 di seluruh dunia ketika ini.

Malah, Kamarudin berkata sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan Lembaga Tabung Haji (LTH) kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaan ibadah haji musim ini berikutan belum mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

“Kita melihat tindakan segelintir agensi pelancongan mengiklankan pakej haji, umrah mahupun badal haji bagi tahun 2021 adalah satu tindakan pramatang serta mungkin satu penipuan.

KAMARUDIN

“Justeru, PDRM ingin mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dan membuat semakan sewajarnya dengan agensi kerajaan berkaitan sebelum membuat bayaran dan menyertai pakej ditawarkan.

“Mereka yang berminat menunaikan ibadah haji dan umrah bagi tahun ini diingatkan untuk sentiasa peka dengan perkembangan dan arahan terkini dikeluarkan kerajaan berkaitan sekatan perjalanan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi Cawangan Madinah (PERSADA) melalui siaran media menyangkal dakwaan sesetengah pihak mengenai perkhidmatan badal haji boleh dilaksanakan pelajar Malaysia di sana tanpa permit atau lesen haji.

Menurut PERSADA, pelaksanaan ibadah haji adalah berdasarkan kuota dan prosedur ditetapkan Arab Saudi malah harga perkhidmatan badal termasuk kos permit, penginapan dan pengangkutan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 adalah tidak munasabah.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan boleh djalankan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan penipuan pakej haji, umrah dan badal haji.

“Sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebatan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap pesalah yang terlibat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.