Wan Saiful nasihat Anwar berhenti main politik

42

10 JUN: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan menasihatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti bermain politik dan memberi fokus kepada masalah yang dihadapi rakyat pada masa kini.

Wan Saiful berkata, dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, di Istana Negara, semalam, Presiden PKR itu menyampaikan hasratnya agar kerajaan tidak menyambung Perintah Darurat selepas bulan Ogos ini.

Bagaimanapun, katanya, Anwar harus sedar bahawa keputusan meletakkan negara di bawah Ordinan Darurat ini bukan sesuatu yang diambil mudah oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Perintah ini terpaksa dibuat bagi memastikan negara boleh memberi tumpuan kepada usaha memerangi COVID-19, dan memulihkan ekonomi negara.

“Anwar juga perlu sedar bahawa Yang di-Pertuan Agong, dengan kebijaksanaan baginda telah pun memperhalusi cadangan dan nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri serta mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum bersetuju dengan keputusan kerajaan melaksanakan perintah darurat itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Berikutan itu Wan Saiful menasihati Anwar supaya menghentikan polemik dan sebaliknya menyokong usaha kerajaan membasmi wabak COVID-19 dan membantu memulihkan keadaan ekonomi dan kesihatan rakyat. 

“Lebih baik bersama menyokong usaha kerajaan memastikan semua pihak mematuhi SOP dan mendaftar untuk mendapatkan vaksin. 

“Sudah-sudahlah dengan permainan politik nak jadi PM, kerana rakyat semakin bijak menilai permainan beliau dan PH yang ternyata makin bercelaru naratif perjuangannya.

“Apabila Anwar cakap tiada perbincangan mengenai pertukaran pentadbiran kerajaan sewaktu jumpa Agong, adakah ini menunjukkan Anwar sedar selama ini dia hanya mereka-reka cerita sahaja?

“Sudah tiadakah ‘formidable numbers’ yang diwar-warkan sebelum ini?” katanya.

Tambah, Wan Saiful, Anwar dan kepemimpinan PKR perlu lebih jujur dan berpendirian tetap terhadap YDP Agong dan institusi raja.

“Yang di-Pertuan Agong telah berkenan mencemar duli berjumpa dan mendengar pandangan Datuk Seri Anwar, tetapi lain pula sikap beliau ketika ada ahli-ahli PKR yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan biadap terhadap baginda kebelakangan ini.

“Contohnya kes video ahli PKR Iswardy Morni yang terang-terangan menghina Agong. Walaupun PKR berkata pendapat Iswardy tidak mewakili pendirian parti, tetapi Anwar sendiri tidak bersuara mempertahankan Agong dan institusi raja-raja Melayu.

“Baru-baru ini pula keluar cadangan daripada gerakan Agenda Reset Malaysia supaya YDP Agong berehat selama 6 bulan dan menyerahkan tugas kepada Timbalan YDP Agong, tetapi Anwar seperti biasa diam sahaja apabila Yang di-Pertuan Agong diserang. Ini seolah-olah menunjukkan yang Datuk Seri Anwar bersetuju dengan penghinaan kepada Raja-Raja kita,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.