Acryl Sani Maklum Kes Suspek Mati Dalam Tahanan – MIC

24

10 JUN: MIC mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara (KPN) semalam bagi memanjangkan kebimbangan umum terhadap isu kematian dalam tahanan.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran yakin dengan komitmen yang dipamerkan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan umum rasa selamat dengan pasukan keselamatan ini.

Beliau memaklumkan pada pertemuan itu bersama Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkenaan tentang apa yang sedang berlaku terutama persepsi segelintir masyarakat terutama kaum India di negara ini ekoran isu yang berlaku.

“Saya sememangnya sungguh gembira dengan komitmen serta ketelusan yang ditunjukkan oleh KPN baharu kita, Datuk Seri Acryl Sani. Beliau cukup maklum dengan apa yang berlaku di bawahnya.

“Pengalaman luasnya dalam dunia kepolisan ini telah memberikan beliau ruang untuk segera memahami sentimen serta kerisauan umum tentang insiden kematian dalam tahanan pada masa ini.

“Saya telah menggunakan peluang ini untuk memaklumkan kepada beliau tentang kebimbangan umum dengan apa yang berlaku pada masa ini, pastinya kematian dalam tahanan polis,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Beliau turut memberi gambaran pertemuan dengan Acryl Sani telah berlangsung selama hampir dua jam itu positif.

Dalam pada itu, Vigneswaran turut mencadangkan inkues bagi setiap kes kematian mendadak yang berlaku dan beliau berjanji akan melakukannya selepas kertas siasatan dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Polis ketika ini juga dalam proses mengetatkan lagi prosedur standard operasi (SOP) ketika menahan suspek pada masa hadapan agar tidak ada sebarang kecuaian berlaku.

“Antara yang akan dilaksanakan selepas ini termasuklah bertanya terlebih dahulu tentang penyakit atau sakit kronik dihadapi oleh suspek, tahap kesihatan mereka juga akan disemak dulu. Semua itu akan diberi diambil kira kerana ianya penting,” katanya. 

Dalam pada itu, Vigneswaran turut berkongsi inisiatif-inisiatif yang dilakukan oleh MIC melalui Malaysia Indian Youth Development Foundation (MIYDF) dengan mengambil kira betapa pentingnya untuk menangani isu-isu sosial dan jenayah.

Menurut beliau, perjuangan mendidik masyarakat India dalam isu sosial dan jenayah ini bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya sejak dirinya bergelar Ketua Pemuda MIC pada awal pertengahan tahun 2000 lagi.

“Saya berkongsi kepada KPN tentang apa kita lakukan sekitar 2006 atau 2007 sehinggalah ke hari ini. Sememangnya isu-isu ini begitu dekat dengan saya dan saya cukup memahami apa yang menjadi kebimbangan umum terutamanya kaum India.

“Pelbagai inisiatif, program kesedaran, seminar dan banyak lagi yang kita anjurkan sejak itu terutamanya dalam mendekati golongan muda,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.