75 kilang dikompaun, 59 ditutup tidak patuh SOP PKP

31

10 JUN: Sebanyak 75 kilang dikenakan kompaun dan 59 premis itu diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh sembilan hari lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu dikenakan hasil pemeriksaan pasukan Task Force Operasi Pematuhan ke atas 268 kilang, susulan aduan diterima.

Katanya, dalam usaha memastikan semua pemain industri dan perkilangan mematuhi SOP sepanjang PKP, kerajaan meningkatkan operasi pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhinya.

“Langkah ini dikuatkuasakan susulan kerajaan menerima banyak aduan berkaitan industri dan premis perniagaan tiada dalam senarai perkhidmatan perlu, tetapi beroperasi sepanjang tempoh PKP.

“Sejak 1 Jun lalu sehingga semalam, sebanyak 268 buah kilang diperiksa bagi memastikan tiada pelanggaran SOP,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut bersetuju melanjutkan tempoh sekatan tambahan bagi kemasukan pengembara ke Labuan.

“Tindakan melanjutkan tempoh terbabit yang bermula hari ini sehingga 30 Jun depan dikenakan selepas mengambil kira situasi terkini COVID-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, semalam seramai 907 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 877 dikompaun, 28 direman dan dua dijamin. 

“Kesalahan tertinggi direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka, iaitu sebanyak 208 individu, diikuti gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (148), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan di premis (147), tiada penjarakan fizikal (123) dan tidak patuh arahan kawalan pergerakan (81).

“Manakala membawa penumpang berlebihan (79), aktiviti pusat hiburan (28), premis gagal patuhi arahan (10) dan lain-lain (83),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.