Tidak Bincang Soal Tukar Kerajaan – Anwar

30

9 JUN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tiada perbincangan mengenai soal perubahan kerajaan dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Sebaliknya Presiden PKR itu berkata beliau mengutarakan pandangannya berkenaan kesan COVID-19, kewajaran Parlimen bersidang dan darurat yang tidak perlu diteruskan.

Beliau amat terharu dengan kearifan Al-Sultan Abdullah berkenaan pandemik COVID-19 yang mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk pakar perubatan.

“Itu soal (perubahan kerajaan) yang tidak berbangkit sekarang. Kami bayangkan penerusan darurat ini tidak membantu mengurangkan permasalahan COVID-19 dan akan menjejaskan ekonomi terutama rakyat di peringkat bawahan. 

“Saya terharu kerana Tuanku amat arif tentang perkembangan-perkembangan semasa terutama pandangan pihak lain di mana Tuanku turut mengundang beberapa pasukan termasuk Prof Adibah.

“Tuanku sebenarnya menyampaikan hal-hal sedemikian kerana kearifan dan maklumat yang Baginda peroleh,” katanya kepada media ketika ditemui di luar Pintu 2 Istana Negara, di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga merupakan Presiden PKR  tiba di Istana Negara bagi

menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara hari ini.

Beliau dilihat memasuki pintu utama Istana Negara sekitar 10.37 pagi menaiki kenderaan Jaguar hitam dan menjadi pemimpin pertama pembangkang tiba hari ini.

Anwar dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan individu terawal yang telah mengadakan pertemuan bersama Seri Paduka Baginda pagi ini. 

Terdahulu, Istana Negara menerusi kenyataan memaklumkan Al Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Istana Negara menerusi laman Facebook yang mengesahkan, sesi perjumpaan tersebut berlangsung selama satu jam bermula 8 pagi tadi.

Mesyuarat pra-Kabinet itu adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.