Sampai Masa Sesuai, PRU-15 Akan Dilaksanakan

299

9 JUN: Keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini adalah memberi fokus sepenuhnya terhadap kesejahteraan rakyat dari segi ekonomi, kesihatan dan pendidikan berbanding pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahaya berkata, peranan utama kerajaan PN sebagai parti memerintah adalah menilai kesulitan yang dihadapi rakyat selain menyediakan bantuan yang diperlukan khususnya ketika penularan COVID-19.

“Kita sendiri sedang lihat apa perkembangan seterusnya berkaitan COVID-19 kerana adakala jumlah jangkitan kes itu boleh meningkat apabila berlaku kelalaian daripada rakyat serta kerajaan sendiri.

“Jadi isu PRU-15 itu akan dilaksanakan apabila sampai masanya nanti,” katanya kepada media selepas menyampaikan 300 bakul makanan kepada penduduk terbabit dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 lokaliti Pekan Bayan Lepas, Mukim 12 Daerah Barat Daya, di Pulau Pinang, hari ini.

Turut hadir sama, Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong dan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang memaklumkan, tumpuan kerajaan ketika ini membabitkan penyampaian vaksin kepada seluruh rakyat dalam negara.

Shabudin berkata, penyampaian vaksin tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana usaha yang dilakukan mendapat tentangan antivaksin serta penularan berita palsu berkaitan pelaksanaannya.

“Kerajaan mempunyai fokus dan rakyat perlu bersabar memandangkan pengendalian kes COVID-19 ini tidak pernah dialami sesiapa sebelum ini.

“Benda ini perkara baru buat semua jadi kerajaan perlu meneliti secara mendalam dan hati-hati terutamanya dalam membelanjakan peruntukan negara.

“Apa yang penting sekarang sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat dalam negara ini perlu divaksin dan ia dijangka siap pada hujung tahun ini,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.