Rasuah RM18 juta: 6 petugas bank direman 7 hari

29

9 JUN: Mahkamah Majistret Shah Alam mereman enam petugas sebuah bank selama tujuh hari bermula hari ini berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi berjumlah RM18 juta antara 2018 hingga 2020.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin terhadap kesemua lelaki yang berusia 36 hingga 45 tahun itu selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu kesemua lelaki itu tiba di pekarangan mahkamah pada jam 10.55 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Semalam, SPRM menahan kesemua individu itu yang bertugas di beberapa cawangan bank tersebut di sekitar Lembah Klang.

Menurut sumber SPRM, mereka dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan antara 15 hingga 35 peratus daripada 110 pinjaman pembiayaan peribadi bernilai kira-kira RM18 juta.

SPRM turut merampas wang tunai kira-kira RM69,000 dan beberapa utas jam tangan mewah serta telefon bimbit daripada individu itu dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah lebih RM100,000 di kediaman mereka di sekitar Selangor dan Putrajaya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.