PKPD di beberapa lokaliti babitkan 5 negeri

36

9 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Sabah, Johor, Pahang, Sarawak dan Kelantan selama 14 hari, bermula lusa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD itu susulan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati berlaku peningkatan kes COVID-19 mendadak di lokaliti terbabit dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

“PKPD di Sabah membabitkan Kampung Singgahmata, Pulau Banggi dan Kampung Sin San di Kudat, selain perumahan kilang, Ladang Ong Yah Ho di Kinabatangan.

“Daripada lapan penduduk yang menjalani ujian saringan KKM di Kampung Singgahmata, Pulau Banggi, kesemuanya dilaporkan positif, manakala seramai sembilan daripada 22 ujian saringan di Kampung Sin San adalah positif,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Johor pula membabitkan FELDA Inas, Kulai.

“Pelaksanaan ini dikenakan selepas KKM mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes di lokaliti terbabit apabila sebanyak 43 kes positif direkodkan daripada 410 Ujian saringan dijalankan dengan kadar positiviti 10.5 peratus,” katanya.

Manakala di Pahang, katanya, PKPD dilaksanakan di FELDA Tembangau 1 dan FELDA Tembangau 3, Bera serta FELDA Jengka 7, Maran.

“Sehingga hari ini, KKM mendapati berlaku peningkatan mendadak apabila sebanyak lapan kes direkodkan di FELDA Tembangau 1 daripada 49 ujian saringan dijalankan di lokaliti itu dan di FELDA Tembangau 3, Bera, seramai 121 individu menjalani ujian saringan dan 28 daripadanya disahkan positif.

“Manakala di FELDA Jengka 7, Maran, KKM mengesahkan sehingga kini, 18 kes positif dikesan,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Sarawak membabitkan Kampung Sinar Budi Baru, Kuching.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan tinggi apabila sebanyak 18 kes positif direkodkan daripada 38 ujian saringan,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, PKPD di Kelantan dikenakan ke atas lokaliti di Kampung Kutan Tengah dan Kampun Ketik di Tumpat.

“Peningkatan ketara disahkan di lokaliti ini apabila sebanyak 75 kes positif direkodkan hasil daripada 130 ujian saringan dijalankan di Kampung Kutan Tengah dan 47 kes potif direkodkan di Kampung Ketil daripada 171 ujian saringan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di FELDA Tersang 1, 2 dan 3, Raub, Pahang yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan selama 14 hari sehingga 24 Jun ini.

Jelasnya, KKM mendapati masih terdapat penularan kes COVID-19 dalam kalangan penduduk di situ dan kes baharu, selain 217 ujian saringan sedang menunggu keputusan.

“Sebelum ini, KKM melakukan 525 ujian saringan dan 19 daripadanya dilaporkan positif COVID-19 di lokaliti itu.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di lokaliti terbabit bermula 11 hingga 24 Jun ini,” katanya.

Menurut Ismail Sabri berkata, PKPD di beberapa lokaliti di Kuala Lumpur, Sabah dan Pahang akan ditamatkan esok mengikut jadual.

Lokaliti terbabit adalah Pangsapuri Permai dan Pangsapuri Sri Penara (Blok C dan D) di Kuala Lumpur; Kampung Pirasan Ulu, Kota Belud serta Taman Sawit Balung, Tawau, Sabah.

Di Pahang, lokaliti terbabit adalah di Mukim Perak dan Bangau, Temerloh; Taman Dato’ Tengku Paris, Raub dan Pekan Kemayan, Bera.

“Manakala di Pangsapuri Permai, 607 penghuni disaring dan 50 daripadanya sah positif COVID-19, manakala Pangsapuri Sri Penara merekodkan 56 kes positif daripada 804 ujian saringan dijalankan KKM.

“Di Kampung Pirasan Ulu, KKM melakukan 425 ujian saringan dan hanya 34 kes positif direkodkan, manakala Taman Sawit Balung pula dilaporkan merekod 38 kes daripada 496 ujian dijalankan.

“Bagi Mukim Perak, KKM merekodkan 66 kes positif COVID-19 selepas menjalankan 1,005 ujian saringan, manakala di Mukim Bangau, 653 disaring dan 17 kes positif direkodkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, setakat ini KKM menjalankan 42 ujian saringan dan 13 daripadanya dilaporkan positif COVID-19 di Taman Dato’ Tengku Paris, Raub.

“Pekan Kemayan, Bera pula merekodkan 22 kes positif daripada 1,751 ujian saringan dijalankan KKM,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di semua lokaliti itu esok mengikut jadual selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM.

Katanya, penamatan PKPD itu susulan pengesahan KKM berlaku penurunan kes dan kluster turut terkawal manakala semua kes positif sudah menerima rawatan di lokaliti terbabit. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.