Pihak cuba guling kerajaan perlu dihalang-Abdul Hadi

137

9 JUN: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelar tindakan pihak yang tidak berhenti main politik dan berhasrat mengambil tampuk pentadbiran negara dan negeri ketika pandemik COVID-19.

Justeru, Abdul Hadi berharap individu atau pihak yang cuba mengambil alih tampuk pemerintahan dalam suasana pandemik Covid-19 di negara ini dihalang.

Menurut beliau, tindakan itu sama sekali bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya dihentikan segala ‘politiking’ yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Mereka masih tidak henti-henti daripada ‘politiking’ dan sangat bernafsu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri dalam suasana COVID-19 yang sebegini rupa. 

“Rasulullah SAW membandingkan kumpulan ini seperti mereka yang berada di petak bawah di dalam sebuah bahtera. Mereka ini ingin menebuk kapal daripada bawah. 

“Ini kerana bersikap gopoh ingin mendapatkan air untuk tanpa mengira semua orang yang berada di dalam bahtera. Mereka perlu dihalang supaya semuanya selamat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini

Catatan itu dipercayai mengulas mengenai majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah oleh beberapa pemimpin politik, hari ini yang dilihat bertindak kerajaan PN yang sebaik mungkin mengawal pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah memaklumkan, PAS memahami keadaan darurat pandemik COVID-19 dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya menghentikan semua perkara berkaitan politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Bagaimanapun masih ada dalam kalangan kita yang seolah-olah meletakkan Malaysia berada di luar alam bumi,” katanya.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.