Perdana Menteri Selesai Menghadap Agong

24

9 JUN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara jam 8.56 pagi, hari ini.

Pertemuan Muhyiddin yang juga merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dengan Al-Sultan Abdullah berlangsung selama lebih sejam.

Beberapa pemimpin utama parti politik dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, di Istana Negara, hari ini.

Perdana Menteri, antara pemimpin utama parti politik mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terawal tiba di Istana Negara, kira-kira jam 7.49 pagi ini.

Terdahulu, spekulasi dalam arena politik sedang bertiup kencang setelah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, membuat satu hantaran di Twitternya yang membayangkan Seri Paduka Baginda memberi perkenan menerima menghadap barisan pemimpin utama parti-parti politik.

Bagaimanapun, seperti mana sebelum ini, ia menjadi rutin mingguan bagi Perdana Menteri untuk menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda mengenai pentadbiran kerajaan dan situasi semasa negara sebelum mesyuarat Kabinet diadakan, hari ini. 

Perjumpaan Perdana Menteri pada awal hari ini dipercayai ada kaitan dengan keadaan semasa negara, terutama isu penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Pada 11 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.

Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat itu hingga 1 Ogos depan atau suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri pada 9 Februari lalu, mengumumkan pelantikan 19 ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Jawatankuasa yang ditubuhkan bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.