KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM19.29 bilion

12

9 JUN: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM19.29 bilion bagi suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2021.

Ekuiti yang menyumbang 74 peratus kepada jumlah pendapatan kasar, mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM14.28 bilion, manakala instrumen pendapatan tetap menyumbang RM3.92 bilion.

KWSP dalam satu kenyataan semalam menyatakan kelas aset hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang masing-masing menyumbang RM0.71 bilion dan RM0.38 bilion.

“Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, yang merupakan amalan berhemat KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat, pendapatan pelaburan bersih adalah RM19.24 bilion,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi memberangsangkan suku pertama itu disokong oleh pemulihan ekonomi global yang bermula sejak separuh kedua tahun lepas.

“KWSP yakin pelaksanaan program vaksinasi serta sokongan daripada dasar fiskal dan kewangan di seluruh dunia akan memainkan peranan penting dalam menggerakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata walaupun terdapat kebimbangan berkaitan inflasi namun ia tidak menjejaskan aliran positif dalam pasaran ekuiti justeru, KWSP mengambil peluang untuk menstrukturkan pegangan portfolio ekuiti kepada saham yang pada asasnya kuat tetapi dinilai rendah.

KWSP menambah, pada akhir Mac 2021, jumlah aset pelaburan KWSP adalah RM981.71 bilion, dengan 36 peratus diperuntukkan dalam pasaran luar negara.

Pempelbagaian merentasi kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza terus menjana pulangan yang stabil dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP, jelasnya.

Dana persaraan itu memaklumkan, bagi suku pertama, pelaburan luar negara KWSP telah menyumbang RM11.15 bilion atau 58 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan, terutama oleh ekuiti luar negara.

Berdasarkan kelas aset, instrumen pendapatan tetap merangkumi 46 peratus daripada pelaburan, manakala ekuiti sebanyak 44 peratus sementara hartanah dan infrastruktur; serta instrumen pasaran wang masing-masing merangkumi empat peratus dan enam peratus.

Menurut KWSP, portfolio ini mencerminkan strategi pempelbagaiannya untuk memastikan pulangan optimum dalam lingkungan had risiko yang boleh diterima berpandukan Peruntukan Aset Strategik (SAA), yang telah terbukti berdaya tahan dalam menghadapi persekitaran pasaran yang mencabar, terutama semasa krisis pandemik Covid-19.

Amir Hamzah berkata pendekatan pelaburan berdisiplin dan pengurusan kecairan yang mantap oleh KWSP yang berpandukan SAA telah berjaya mengurangkan impak daripada jumlah pengeluaran yang besar ke atas portfolio KWSP.

Beliau berkata justeru, ia membolehkan prestasi kukuh dalam tempoh yang mencabar ini dikekalkan.

“Ini mencerminkan komitmen KWSP untuk melindungi simpanan persaraan ahli dengan memelihara dan meningkatkan nilai simpanan mereka, dan pada masa sama memastikan keperluan jangka pendek dipenuhi tanpa menjejaskan kepentingan jangka panjang,” katanya.

Setakat ini, sejumlah RM50.93 bilion telah dikeluarkan daripada RM57.97 bilion pengeluaran i-Sinar yang diluluskan bagi 6.49 juta pemohon, manakala RM20.80 bilion telah dibayar kepada 5.27 juta ahli menerusi kemudahan i-Lestari.

KWSP telah memperkenalkan kemudahan i-Sinar dan i-Lestari untuk membolehkan ahli yang terkesan membuat pengeluaran bagi membantu mengurangkan beban kewangan mereka, berikutan pandemik.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.