KWP lanjutkan tempoh lesen Skim Wilayah Bebas Berniaga

35

9 JUN: Kementerian Wilayah Persekutuan bersetuju melanjutkan tempoh lesen percuma melalui Skim Wilayah Bebas Berniaga yang dijadual tamat 31 Julai ini, dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata keputusan itu bagi meringankan beban lebih 4,500 penjaja berdaftar di bawah skim berkenaan.

Annuar berhara langkah berkenaan akan memudahkan penjaja berkenaan membuat perancangan perniagaan memandangkan negara masih berdepan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Lesen-lesen ini tidak tamat bulan depan, boleh disambung secara automatik, mereka perlu memasukkan data secara dalam talian dan kami beri sambungan lesen secara automatik.

“Mereka juga tidak dikenakan sebarang bayaran, tak payah bayar lesen, tapak dan lesen percuma dan boleh terus berniaga di bawah program ini sampai akhir tahun,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook beliau selepas meninjau operasi penjaja di sekitar ibu kota hari ini.

Annuar turut meminta kerjasama peniaga menjaga penjarakan fizikal antara gerai selain meminta lebih 2,000 peniaga yang masih belum mendapat lesen di bawah skim itu disebabkan tidak memenuhi kriteria seperti aspek pemilihan lokasi untuk segera berdaftar.

“Saya juga sudah minta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meninjau supaya kedudukan gerai jangan terlalu rapat dan sesak supaya sesuai dengan prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.

Skim Wilayah Bebas Berniaga diperkenalkan pada 15 November tahun lalu, bagi membolehkan orang ramai di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai secara percuma.

Dalam perkembangan lain, Annuar turut mengumumkan diskaun 50 peratus kepada lebih 5,000 peniaga yang menyewa premis perniagaan seliaan DBKL, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan serta lesen percuma untuk peniaga di bawah program Usahawan Anak Muda Kota sehingga akhir tahun.

Beliau turut mengingatkan peniaga yang disifatkan berisiko dengan jangkitan wabak untuk mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi program trak bergerak yang akan digerakkan ke lebih banyak kawasan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang dan Kampung Baru.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.