Kadar agihan vaksin di Selangor dipertingkat 25 peratus

49

9 JUN: Kerajaan akan meningkatkan pengagihan vaksin COVID-19 sebanyak 25 peratus di Selangor dalam tempoh terdekat bagi menampung keperluan pemberian imunisasi terbabit kepada penduduk di negeri itu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata selepas itu penghantaran vaksin kepada Selangor akan dipertingkatkan apabila kerajaan menerima bekalan tambahan dos terbabit pada bulan seterusnya.

“Setakat ini penghantaran vaksin sebagai contoh pada hujung minggu ini di Selangor adalah sebanyak 17 peratus daripada bekalan dihantar ke seluruh negara.

“Sebab itu Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) membuat keputusan beberapa minggu lepas untuk meningkatkan pemberian vaksin di Selangor agar negeri ini dihantar lebih banyak bekalan terbabit,” katanya pada sidang media mingguan perkembangan PICK, hari ini.

KHAIRY

Beliau mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam yang menzahirkan rasa terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin COVID-19 sehingga 1 Jun lalu dan bukan 2.9 juta seperti didakwa sebelumnya.

Nisbah jumlah pemberian dos vaksin itu, titahnya, tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk di negeri berkenaan yang berjumlah 6.5 juta.

Selain itu, Khairy berkata, CITF sudah membuka beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) berskala besar dan bakal membangunkan PPV mega di Selangor dalam tempoh terdekat bagi membolehkan penghantaran jumlah vaksin lebih besar ke negeri berkenaan, memandangkan kapasiti sedia ada tidak berjaya menampungnya.

“Pembukaan PPV baharu berskala besar antaranya di Setia Alam Convention Centre dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam serta PPV mega ini bagi membolehkan kita memberi keutamaan kepada Selangor selaras dengan usaha kita untuk membendung penularan COVID-19 di Lembah klang, iaitu di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Khairy berkata, antara cabaran dihadapi CITF dalam mengagihkan pemberian vaksin kepada penduduk Selangor adalah terdapat penduduk negeri itu yang beralamatkan di Kuala Lumpur.

“Ini menyebabkan data keseluruhan untuk Selangor ada yang bercampur aduk dengan data Kuala Lumpur.

“Namun demikian, CITF mengambil maklum atas titah Seltan Selangor semalam untuk memastikan bahawa kita memberi tumpuan lebih bagi mengawal penularan pandemik ini di Selangor, selain memberi satu keutamaan khas kepada negeri yang mempunyai populasi paling tinggi ini,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.