SKM Tawar Moratorium Tiga Bulan

80

8 JUN: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menawarkan kemudahan penangguhan bayaran balik (Moratorium KPP 3.0) untuk Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) dalam usaha membantu meringankan beban kewangan koperasi yang terjejas akibat PKP 3.0.

SKM merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sebanyak 1,056 koperasi seluruh negara akan menerima manfaat daripada pelaksanaan berkenaan.

WAN JUNAIDI

“Sehingga 30 April 2021, jumlah akaun pembiayaan TMPSKM adalah sebanyak 1,734 dengan kelulusan pembiayaan keseluruhan bernilai RM1.66 bilion.

“Pelaksanaan kemudahan moratorium PKP 3.0 di bawah pembiayaan TMPSKM diteruskan dengan menawarkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh tiga bulan bermula pada 1 Jun sehingga 31 Ogos 2021,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, Wan Junaidi memaklumkan koperasi-koperasi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 hanya akan membuat bayaran balik pinjaman mulai 1 September 2021.

Bagi tujuan tersebut, beliau berkata, proses permohonan akan dipermudahkan dan koperasi yang layak hanya perlu mengemukakan dokumen sokongan iaitu

permohonan rasmi daripada koperasi, Penyata Terimaan dan Bayaran serta penyata bank bagi tempoh tiga bulan secara atas talian.

“Kemudahan moratorium PKP 3.0 ini ditawarkan kepada semua koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan di bawah TMPSKM. Walau bagaimanapun, koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan bagi aktiviti kredit, kelulusan moratorium PKP 3.0 tertakluk kepada koperasi yang menawarkan kemudahan moratorium kepada anggota-anggota koperasi.

“MEDAC berharap kemudahan moratorium PKP 3.0 bagi pembiayaan TMPSKM ini dapat membantu kelangsungan aktiviti perniagaan gerakan koperasi dan menyediakan kemudahan tunai tambahan untuk operasi koperasi,” katanya. 

Sementara itu, Wan Junaidi berkata MEDAC dan SKM akan terus komited dalam membantu menyediakan kemudahan khidmat nasihat dan bantuan perundingan secara berterusan kepada koperasi-koperasi yang memerlukan perundingan.

“Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi MEDAC menerusi (Pusat Sehenti Keusahawanan): Hotline 1-300-88-1020 atau emel kepada [email protected] manakala bagi SKM boleh menghubungi talian hotline 011-14736471 atau emel kepada [email protected],” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.