Pemimpin UMNO Perlu Bersolidariti Bantu Tangani COVID-19

36

8 JUN: Kepemimpinan UMNO di semua peringkat diseru bersolidariti dan berganding bahu dalam usaha menangani pandemik COVID-19.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kepemimpinan UMNO perlu menggiatkan usaha di peringkat masing-masing bagi menyokong usaha yang sudah dan sedang dilaksanakan kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM). 

“Saya menyeru semua pihak di dalam kepemimpinan UMNO di semua peringkat untuk berganding bahu menangani pandemik COVID-19 dalam pelbagai cara yang difikirkan sesuai kerana situasi negara hari ini memerlukan kita bersolidariti.

“Kita tidak boleh membiarkan hanya kerajaan atau KKM semata-mata melakukan segalanya. Peranan membantu kerajaan dan KKM perlu dipertingkatkan dan digerakkan oleh kepimpinan UMNO di seluruh negara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir memaklumkan, usaha yang boleh dilaksanakan termasuk dengan mewujudkan pasukan Sukarelawan UMNO Untuk COVID-19, Unit Bergerak Vaksinasi di setiap kawasan Parlimen diwakili UMNO.

Selain itu, menurut beliau, ini juga termasuklah penyediaan Unit Kenderaan Khas bagi membawa orang ramai ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selain insentif kewangan, pengurusan pengebumian jenazah pesakit COVID-19 dan bantuan keperluan peralatan atau makanan di pusat kuarantin.

“Ada banyak yang boleh disumbangkan berkaitan usaha menangani COVID-19 dan UMNO sendiri sudah lama membawa naratif membantu rakyat dalam apa sahaja situasi dan itulah yang perlu dilakukan sekarang.

“Kita bukan bekerja membantu rakyat dan negara mengikut musim tetapi di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja bersama rakyat dan negara, itulah UMNO sebenarnya,” katanya.

Justeru, Mahdzir menegaskan, kepemimpinan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO, perlu lebih agresif dalam menggerakkan jentera untuk turun padang dalam membantu rakyat atau pihak berkuasa berkaitan COVID-19.

Beliau berkata, dalam situasi kritikal yang terpaksa dihadapi ketika ini, kepemimpinan UMNO di semua peringkat perlu mengambil peluang mendekati rakyat dengan menawarkan pelbagai bantuan yang diperlukan.

“Rakyat ketika ini sedang memerhati dan menilai setiap perkara yang dilakukan oleh kepemimpinan UMNO. Kepada kepemimpinan UMNO, Menteri Besar dan Ketua Menteri yang menggalas tanggungjawab di peringkat negeri, tahniah dan syabas diucapkan atas segala inisiatif bagi melandaikan keluk jangkitan COVID-19 di negeri masing masing.

“Begitu juga dengan Pengerusi Perhubungan UMNO di negeri. Walaupun bukan sebagai Menteri Besar, tetapi mereka berusaha membantu menjayakan usaha menangani COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir memaklumkan, pimpinan UMNO di peringkat pusat akan memberi sokongan penuh terhadap usaha dan inisiatif digerakkan di peringkat bawah dalam membantu jentera kerajaan menangani wabak COVID-19.

“Sebagai Naib Presiden UMNO, saya nak jelaskan bahawa diperingkat pucuk pimpinan parti, kita tidak ada apa-apa halangan. Matlamat kita adalah untuk membantu usaha menangani pandemik COVID-19 ini dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa mengira situasi politik”.

“Bagi saya ini masanya kita berganding bahu dengan semua petugas di peringkat Parlimen untuk berjuang melawan COVID-19. Ingin saya tegaskan juga buat masa ini biarlah tumpuan kita kepada melawan COVID-19 terlebih dahulu. 

“Kita ketepikan dahulu soal politik kepartian atau kepimpinan kerajaan. Bagi saya, ini bukan masanya lagi. Biarlah kita sama-sama berjuang melawan COVID-19 ini terlebih dahulu. Nyawa kita dan nyawa semua rakyat Malaysia adalah lebih utama buat masa sekarang ini, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.