91,317 Anggota, Pegawai Polis Lengkap 2 Dos Suntikan

18

8 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seramai 91,317 anggota dan pegawai telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19, kelmarin. 

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, daripada jumlah keseluruhan kekuatan PDRM iaitu 114,496 orang, sebanyak 79.76 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Menurut beliau, pihaknya kini dalam proses menyelesaikan 20.24 peratus lagi anggota PDRM bagi mendapatkan vaksinasi.

RAMLI

“Seramai 10,670 pegawai kanan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin, 859 orang pula sedang menunggu dos kedua, manakala 1,566 orang belum menerima vaksin.

“Sekitar 80,647 anggota PDRM telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin, 6,106 sedang menunggu dos kedua dan 14,648 orang belum menerima vaksin. 

“Saya berharap agar semua kakitangan PDRM diberi vaksin 100 peratus pada tahap ini. Namun, pengedaran vaksin kepada PDRM adalah di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, Ramli berkata pihaknya telah menyerahkan semua nama dan perincian kakitangan kepada KKM dan memahami kekangan yang dihadapi oleh KKM dalam proses vaksinasi di seluruh negara. 

Justeru, beliau menyeru agar semua anggota PDRM diminta untuk mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk proses menerima vaksin dan mereka akan dihubungi oleh Pejabat Kesihatan Negeri masing-masing.

“Kita sebagai organisasi barisan hadapan sukar untuk memberi anggota bertugas di sekatan jalan raya berdasarkan status vaksinasi.

“Walau bagaimanapun, kita telah mengambil semua langkah termasuk menyediakan sut peralatan pelindungan diri (PPE) seperti sarung tangan, topeng muka, cecair pensanitasi tangan dan lain-lain bagi meminimumkan risiko anggota dijangkiti virus semasa bertugas,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.