11 Notis Peniaga Naik Harga Minyak Masak Botol

34

8 JUN: Sebanyak 11 notis dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor kepada peniaga kerana menjual minyak masak lima kilogram (5kg) pada harga agak tinggi iaitu kenaikan sehingga melebihi RM8 sebotol.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 23 peruncit dan mendapati terdapat peniaga yang meletakkan harga mencecah RM34.20 berbanding harga jualan pada nilai RM25.50.

Menurut beliau, operasi jam 11 pagi yang disertai 20 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Selangor telah melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga minyak masak botol 5kg di peringkat peruncit di seluruh daerah di negeri ini.

“KPDNHEP telah mengeluarkan 11 notis kepada peruncit dan meminta mereka membekalkan perincian harga jualan dan harga kos barangan bagi tujuan siasatan lanjut sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau tidak.

“Peniaga-peniaga ini diberi tempoh masa antara dua ke lima hari bekerja untuk membekalkan maklumat yang diarahkan. Ketika pemeriksaan dijalankan, mereka memaklumkan kenaikan harga jualan disebabkan pihak pembekal telah menaikkan harga kos minyak masak botol 5kg sehingga memaksa mereka untuk menaikkan harga jualan.

“Selain itu, peniaga juga memberitahu kenaikan harga pasaran minyak masak global turut mempengaruhi kenaikan harga jualan minyak masak di premis mereka. Setakat ini, kita telah mengenal pasti pembekal-pembekal yang menaikkan harga jualan minyak masak botol 5kg kepada peruncit dan tindakan susulan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Zikril Azan berkata, walaupun harga jualan minyak masak botol 5kg tidak dikawal harganya, namun pihak peniaga masih tertakluk di bawah perundangan Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011.

Tambah beliau, peniaga tidak boleh mengambil kadar keuntungan lebih daripada keuntungan yang biasa diperoleh oleh peniaga berkenaan.

“Sekiranya terdapat peniaga yang melakukan kesalahan-kesalahan berikut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Seksyen 14(1) iaitu mengambil keuntungan yang tidak munasabah atau mencatut.

“Oleh demikian, kita memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana peniaga minyak masak supaya tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan mengambil keuntungan yang tidak munasabah. 

“Ataupun mencatut dalam perjalanan perniagaan menawarkan minyak masak kepada pelanggan pada ketika ini. Penalti berat akan dikenakan kepada individu yang ingkar,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.