Polis Panggil MP Kepong dakwaan Peras Ugut

48

7 JUN: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng akan dipanggil pihak polis bagi membantu siasatan susulan mendakwa tiga anggota polis melakukan pemerasan terhadap dua individu berhampiran lampu isyarat di Jalan Besar Kampung Melayu, Kepong pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dakwaan itu dibuat Ahli Parlimen berkenaan pada 4.50 petang semalam menerusi sidang media dan siasatan dibuat selepas berita mengenainya dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp.

Beh berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian yang didakwa berlaku pada 6.45 pagi itu.

“Ahli Parlimen itu serta dua individu terbabit dalam kejadian tersebut akan dipanggil bagi membantu siasatan.

”Polis memandang serius dakwaan itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap tiga anggota tersebut jika kejadian salah laku didapati benar-benar berlaku,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Noramalina Md Jamil di talian 017-3185868 atau Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482206

Get real time updates directly on you device, subscribe now.