Petugas media divaksinasi Rabu ini

17

7 JUN: Menteri Penyelarasan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan kumpulan pengamal media akan mendapat suntikan vaksinasi COVID-19, bermula Rabu ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata petugas media termasuk wartawan dan jurugambar akan mula mendapat janji temu bermula hari ini.

“Bermula hari ini, akan ada petugas media yang akan mendapat janji temu. Bagaimanapun, senarai jumlah sebenar petugas media ini sedang disemak di peringkat akhir ini,” katanya kepada media selepas melawat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLCC, yang mula beroperasi, hari ini.

KHAIRY

Isu mengenai suntikan vaksin COVID-19 kepada petugas media mula diperkatakan sejak bulan lalu kerana kumpulan pekerja ini masih belum memperoleh suntikan vaksin biarpun program vaksinasi negara bermula sejak beberapa bulan lalu.

Terdahulu pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) dan ahli politik mendesak kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pengamal media yang bekerja di lapangan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin kerana mereka sebahagian daripada petugas barisan hadapan dan sentiasa berdepan dengan ancaman jangkitan virus terbabit .

Presiden NUJM, Farah Marshita Abdul Patah dalam kenyataannya meminta penjelasan kerajaan dalam isu pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada pengamal media yang menjadi sebahagian daripada petugas barisan hadapan.

Farah Marshita menegaskan NUJM juga kesal dengan laporan bahawa terdapat kakitangan sebuah organisasi media swasta tertentu dipercayai sudah menerima suntikan vaksin COVID-19, Sinovac yang diberikan secara ‘senyap-senyap’.

NUJM berpandangan perkara itu secara tidak langsung memperlihatkan wujud ketidak tirisan dalam soal ini, apatah lagi kebanyakan media portal dan media di bawah NUJM masih menunggu lampu hijau daripada pihak kerajaan.

Sementara itu Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan dilaporkan sebagai berkata beliau bersetuju bahawa pengamal media di lapangan sepatutnya dilihat sebagai frontliners dan pemberian vaksin kepada mereka perlu disegerakan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.