Lebih 100,000 Pesakit Dirawat Di MAEPS

46

7 JUN: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang menerima kemasukan lebih 100,000 pesakit sejak dibuka pada 9 Disember tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, angka itu bukan satu kebanggaan kerana memerlukan pengorbanan besar petugas barisan hadapan dalam memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik.

“Hari ini kita mencatatkan 105,797 kes yang mendapat rawatan di PKRC dan memperoleh kerjasama yang baik daripada agensi lain.

“Pengorbanan dan komitmen mereka, petugas barisan hadapan begitu tinggi tidak kira siang atau malam termasuk ketika cuti umum bagi memastikan pengurusan pesakit di PKRC MAEPS ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

DR SHA’ARI

Dr Sha’ari berkata, pada awal operasi, PKRC hanya menerima pesakit dalam kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori bergejala ringan, namun kemudian turut menerima pesakit kategori tiga iaitu kes radang paru-paru serta kategori empat yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan yang bertungkus lumus bersama 16 agensi lain bagi memastikan pesakit menerima rawatan sebaik mungkin.

“Walaupun terdapat rungutan namun sikap profesionalisme kakitangan di sini dapat mengatasinya dan berharap pesakit yang menerima rawatan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, Sha’ari memberitahu, kakitangan di pusat kuarantin itu juga berpengalaman dan mampu mengendalikan kes COVID-19 dalam jumlah yang besar.

“Sekiranya berlaku peningkatan jumlah pesakit ke PKRC ini, komitmen dan pengalaman dalam kalangan kakitangan begitu tinggi yang mampu merawat pesakit walaupun dalam jumlah yang ramai.

“Kita juga telah melengkapkan beberapa fasiliti di sini seperti mesin X-ray bergerak, mesin ultrabunyi dan menambah bilangan pakar perubatan di samping 1,800 kakitangan lain untuk memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya. – OLEH AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.