Langgar SOP:MB Kedah sedia lalui proses undang-undang

56

7 JUN: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, sedia disiasat dan berhadapan proses undang-undang termasuk dikompaun kerana dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) penuh ketika singgah di sebuah pusat pameran kenderaan di Juru, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Sanusi juga bersedia menjelaskan bayaran kompaun bagi pihak pengiring rapat dan pemandunya serta jurujual berkenaan jika mereka didapati melakukan kesalahan yang berpunca daripanya.

“Saya serah proses menentukan saya bersalah atau tidak bukan kepada netizen, bukan penyokong dan bukan pembenci kerana yang akan menentukannya adalah penguat kuasa undang-undang iaitu polis.

“Saya tidak kata saya tidak salah atau bersalah, jika berlaku perlanggaran SOP maka saya minta maaf kerana ia berlaku secara kebetulan kerana memang saya suka menyapa orang dan bercakap.

“Kalau saya kena kompaun maka saya akan bayar dan untuk orang yang merakam pula, selepas ini saya akan hadiahkan gajet baharu untuk mudahkan dia rakam benda baik-baik,” katanya dalam sidang media di Alor Setar, Kedah hari ini.

Menyentuh mengenai penggunaan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire milik Syarikat Air Darul Aman (SADA), beliau menjelaskan, MPV berkenaan diguna berikutan kapasitinya sebagai Pengerusi SADA selain kerap menggunakannya bagi perjalanan jauh.

Terdahulu, Sanusi mengesahkan beliau akan memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika hadir di sebuah pusat pameran kenderaan kepada pihak polis Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata, pegawai penyiasat berkenaan sudah menghubunginya dan proses rakaman percakapan akan dibuat petang ini, bagi menentukan jika berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.

“Saya serah kepada polis siasat dan mereka akan datang petang ini untuk ambil kenyataan. Polis akan tentukan di mana ambil keterangan, di balai atau di pejabat. Polis Pulau Pinang yang siasat kerana kertas siasatan dibuka di sana.

“Kalau polis kata ada kesalahan dan saya didakwa, saya yakin tidak dikenakan hukuman gantung. Kalau kena kompaun saya akan bayar dan jika pekerja pusat pameran dikompaun, saya akan bayar juga,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, tular video dan gambar mendakwa Muhammad Sanusi melanggar SOP apabila dikatakan melakukan pandu uji kenderaan pacuan empat roda (4WD) Ford Raptor di Juru, Pulau Pinang.

Mengulas mengenai kejadian itu, beliau menegaskan tiada sebarang pandu uji kenderaan berlaku kerana tujuannya ke Autocity Juru adalah bagi membeli makanan di kedai serbaneka berdekatan kawasan berkenaan.

Jelasnya, beliau bersama pemandu dan pengiring rapat bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang kerana perlu menghadiri mesyuarat penting serta bertemu pelabur semalam (Ahad).

“Kebetulan ketika pemandu membeli makanan, saya keluar melihat kenderaan di sebelah kedai dan ada pekerja sedang mengalih kenderaan sebelum menyapa dan bersembang bersamanya sebentar.

“Lelaki itu memperkenal diri sebagai ‘Mr Ong’ dan menerangkan jenis dan spesifikasi kenderaan dengan saya hanya duduk di kerusi penumpang hadapan dan pengiring duduk di belakang.

“Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) maksud pandu uji adalah ujian prestasi kenderaan, tetapi saya tidak melakukannya dan ketika cuba melihat kenderaan lain, baharu sedar ada individu sedang merakam kami,” katanya

Muhammad Sanusi berkata, berikutan faktor keselamatan, pengiring peribadi meminta mereka segera beredar sebelum dimaklumkan video berkaitan kehadiran beliau di pusat pameran berkenaan tular dan mendapat pelbagai reaksi di media sosial.

“Saya tidak tahu ada orang rakam, ketika lihat kenderaan tiba-tiba ada orang jerit sedangkan tiada proses transaksi atau jual beli dilakukan kami, malah nombor telefon ‘Mr Ong’ juga tidak sempat diambil.

“Bagaimanapun, saya kesal orang terbabit tidak datang dan bertanya mengenai kejadian sebenar kerana saya boleh jelaskan dengan baik apa yang berlaku dan elak salah faham.

“Mungkin kerana saya Menteri Besar yang kontroversi, maka ada orang anggap apabila dapat rakam pemimpin kononnya langgar SOP, maka dia akan jadi hero di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad, berkata polis sudah mengambil keterangan lima individu membabitkan saksi berhubung perkara itu bagi membantu siasatan.

Shafee berkata, kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya siap kelak

“Setakat ini, lima individu sudah dirakam percakapan dan polis juga akan mengambil keterangan Menteri Besar Kedah untuk siasatan lanjut.

“Kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk dan diserahkan kepada pejabat pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Difahamkan, polis akan mengambil keterangan Muhamad Sanusi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan itu petang tadi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.