Hanya surat kebenaran kerja 6 kementerian diterima pakai

94

7 JUN: Hanya surat pengesahan daripada enam kementerian dan beberapa agensi tertentu diterima pakai Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi membenarkan pekerja bergerak ke tempat kerja semasa sekatan jalan raya (SJR) yang bermula esok.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata kementerian itu adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Surat itu, katanya, adalah sebagai bukti bagi membenarkan pergerakan pekerja dari kediaman ke tempat kerja.

“Orang ramai diingatkan agar mengemukakan dokumen dikeluarkan kementerian atau agensi sudah disenaraikan ketika melalui SJR.

“Mereka yang gagal berbuat demikian atau mengemukakan surat pengesahan palsu akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, surat daripada MITI adalah bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan serta MOT untuk sektor pengangkutan awam dan barangan keperluan.

Sektor pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi pula adalah di bawah kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang hanya akan mengeluarkan surat pengesahan kepada pekebun kecil, manakala bagi yang memiliki lesen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), surat pengesahan dikeluarkan MITI.

Katanya, bagi pemegang permit dan lesen Lembaga Getah Malaysia (LGM) seperti pekebun kecil, estet, nurseri, peniaga getah, pedagang dan pengilang getah boleh menggunakan surat pengesahan dikeluarkan MPIC atau LGM, manakala bagi pengilang pembuatan produk getah seperti sarung tangan, surat pengesahan dikeluarkan MITI.

“Semua surat pengesahan dikeluarkan agensi yang berada di bawah KDN, seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sebagainya diterima pakai bagi kebenaran pergerakan,” katanya.

Acryl Sani berkata, surat pengesahan kebenaran pergerakan dikeluarkan KKMM pula adalah bagi perkhidmatan telekomunikasi, media, pos, kurier dan penyiaran.

Jelasnya, bagi sektor institusi kewangan, insurans dan urus niaga saham, surat pengesahan masing-masing akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Pihak berkuasa tempatan (PBT), katanya, akan mengeluarkan surat pengesahan untuk sektor peniaga kecil, penjaja gerai makanan dan trak makanan, manakala pengeluaran lesen berniaga bagi pengurusan strata, sisa pepejal serta sanitasi, surat pengesahan dikeluarkan MITI.

“Dokumen pengesahan ini hendaklah bertarikh 1 Jun 2021 dan pihak yang tiada sebarang dokumen sah atau tamat tempoh, iaitu sebelum tarikh terbabit akan diarahkan berpatah balik.

“PDRM juga akan mengeluarkan permit pergerakan bagi mereka yang layak di bawah peraturan rentas sempadan, iaitu ziarah kematian, kecemasan dan bekerja sendiri,” katanya.

Selain itu, Acryl Sani berkata, bagi pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggara dan penjaja tepi jalan yang tiada majikan, permohonan bergerak hendaklah diperoleh daripada polis secara sekali beri dalam tempoh 1 hingga 14 Jun ini.

PDRM, katanya, akan memberikan kebenaran secara sekali beri, iaitu untuk tempoh dua hingga tiga hari kepada pekerja di sektor yang tidak dibenarkan beroperasi, tetapi perlu ke tempat kerja bagi tujuan khusus seperti penyediaan dokumen, invois pembayaran gaji dan sebagainya, namun mereka perlu menyediakan surat pengesahan majikan sebagai bukti.

Bagi pengoperasian firma guaman dengan kakitangan seramai 20 peratus, jelasnya, surat akan dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri melalui MITI, manakala pengamal undang-undang yang perlu hadir ke mahkamah untuk mewakili anak guam dalam kes baharu (reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah), hendaklah menunjukkan dokumen bercetak atau surat firma guaman di SJR.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.