DPMM gesa kerajaan beri moratorium automatik

28

7 JUN: Kerajaan digesa memberi moratorium pinjaman automatik diberi ke atas semua jenis pinjaman kepada setiap kumpulan rakyat di negara ini sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dalam satu kenyataannya berkata moratorium itu membabitkan semua pinjaman perbankan, peminjam berlesen, syarikat kredit termasuk kad kredit kepada mereka yang tidak mendapat pendapatan tetap.

Katanya, moratorium itu perlu diberi sehingga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mencapai 80 peratus atau 27 juta orang mendapat suntikan vaksin iaitu hingga 31 Disember nanti.

“Serentak dengan itu, DPMM juga melancarkan kempen mengumpul sokongan secara dalam talian melalui petisyen yang dibuka sejak semalam.

“Setakat ini, kempen #SelamatkanRakyatBUKANbank sudah menerima 3,000 sokongan,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai RM40 bilion, semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas.

Mereka yang kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP diberi pilihan mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan.

Inisiatif itu akan dilaksanakan segera bulan ini dan dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.

Berikutan itu DPMM berkata, rakyat Malaysia sama ada B40, M40, T20 berhak untuk dapatkan moratorium secara automatik.

“Sejak PKP dilaksanakan sehingga kini, pelbagai golongan rakyat dan usahawan yang terjejas dan terkesan secara langsung dek kerana pelbagai sekatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan.

“Kita memahami bahawa perkara yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk membendung penyebaran pandemik COVID-19.

“Namun, dalam keadaan kes yang kian meningkat, kita memohon untuk diberikan moratorium terus kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Bagi orang ramai yang mahu menyokong petisyen itu boleh menyatakan sokongan melalui https://www.change.org/SelamatkanRakyatBUKANbank.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.