PDRM terima surat pengesahan lain termasuk MITI mulai 8 Jun

432

6 JUN : Susulan pelbagai isu berhubung hanya surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sahaja yg boleh digunakan untuk pelepasan sektor dibenarkan operasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengeluarkan senarai rasmi 10 surat kebenaran dari agensi dan kementerian yang akan diterima di sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara mulai 8 Jun ini.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam satu kenyataan hari ini, semua surat berdasarkan sektor yang diluluskan, akan diterima di SJR  untuk pergerakan antara rumah pekerja dan tempat kerja dalam tempoh sekatan penuh.

Katanya, pekerja dari sektor yang tidak dibenarkan tetapi diharuskan berada di pejabat atas sebab-sebab tertentu termasuk pembayaran gaji kebenaran sekali sahaja mesti diperoleh daripada polis dan disokong surat majikan.

“Semua surat mesti bertarikh dari 1 Jun dan sesiapa yang didapati tanpa surat atau yang telah tamat tempoh ketika pemeriksaan di sekatan jalan akan diperintahkan untuk berpatah balik,” tegasnya.

Selain itu, kata Acryl, bagi mereka yang berada dalam profesion perundangan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri bertanggung jawab untuk mengeluarkan surat izin kepada pekerja firma undang-undang melalui Miti.

Sementara itu, jelasnya lagi, pengamal undang-undang yang dikehendaki berada di mahkamah untuk prosiding reman juga harus menunjukkan surat dari firma undang-undang.

Berikut adalah senarai 10 agensi/kementerian tersebut :

• Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MiTi): Pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan

• Kementerian Pengangkutan: Pengangkutan awam dan barang keperluan

• Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi): Pertanian / Perikanan / Pertanian / Perladangan / Komoditi. Mafi hanya akan mengeluarkan surat kebenaran untuk pekebun kecil. Mereka yang berlesen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia mesti mendapatkan surat dari Miti.

• Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi: Sektor perladangan dan pengeluaran hasil komoditi termasuk buah sawit, getah dan lain-lain. Permit atau pemegang lesen Lembaga Getah Malaysia dibenarkan menggunakan surat yang dikeluarkan oleh lembaga atau kementerian. Sementara itu, pengeluar produk berasaskan getah diminta untuk mendapatkan surat dari Miti.

• Bank Negara Malaysia: Institusi perbankan, insurans

• Suruhanjaya Sekuriti: Sektor perdagangan saham

• Kerajaan Tempatan: Peniaga kecil / penjaja / pengusaha trak makanan.

• Kementerian Komunikasi dan Multimedia: Telekomunikasi / media / pos / kurier / penyiaran

• Kementerian Dalam Negeri: Semua surat yang dikeluarkan oleh agensi di bawah kementerian diterima untuk pergerakan kakitangan

• Polis: Surat kebenaran daripada polis akan dikeluarkan untuk mereka yang bekerja sendiri, dan juga kebenaran melintasi sempadan untuk urusan kecemasan dan pengebumian. – Oleh HAFIZ HAMZAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.