Negara berdepan dengan trend peningkatan kes sporadik,kematian

83

6 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan kes kematian dan kes sporadik harian di Malaysia sekarang dengan 30 lagi kluster Covid-19 dikesan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata Malaysia hari ini mencatatkan 87 kes kematian dengan 34 daripada mangsa meninggal dunia di Selangor, diikuti Johor (12 kes kematian), Negeri Sembilan (9), Kedah (6), Kuala Lumpur (5) masing-masing empat kes kematian di Sarawak dan Pulau Pinang.

Manakala, Kelantan, Terengganu dan Pahang masing-masing mencatatkan tiga kes kematian serta Melaka dan Labuan masing-masing dua kes kematian.  

Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan 87 kes baharu itu angka kematian akibat Covid-19 di Malaysia kini 3,378 kes atau 0.55 peratus daripada kumulatifnya iaitu 616,815 kes setakat ini.

Beliau berkata, jumlah pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula meningkat kepada 890 kes termasuk 444 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Negara kini berhadapan dengan tren peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 dan kes-kes kematian terutamanya selepas 1 April 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-13].

“Keadaan ini adalah amat membimbangkan, kerana majoriti kes baharu COVID-19 dan kes kematian COVID-19 adalah merupakan kes-kes-kes sporadik ketika ianya dilaporkan. Kes sporadik bermakna kes yang dikesan di dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata bagi kumulatif kes kematian COVID-19 pula, didapati ianya semakin meningkat dari minggu ke minggu dengan kes kematian COVID-19 yang dilaporkan pada ME ke-13 (sehingga 3 April 2021) adalah sebanyak 35 kes (26 kes sporadik), manakala pada ME ke-19 adalah sebanyak 209 kes (187 kes sporadik).

“Jumlah ini melonjak dan pada ME ke-22 iaitu sebanyak 641 kes kematian COVID-19 (559 kes sporadik). Graf 2 jelas menunjukkan peningkatan pecahan kes kematian COVID-19 yang merupakan kes-kes sporadik berbanding kes kematian daripada kluster COVID-19.

“Salah satu faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut adalah berikutan kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti dengan kadar kebolehjangkitan dan kematian yang lebih tinggi, selain penularan COVID-19 secara lebih meluas di dalam komuniti berbanding ME yang sebelum,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham mengesahkan KKM mengesan sebanyak 30 kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini termasuk 18 kluster membabitkan tempat kerja dengan 10 kluster melibatkan sektor perkilangan.

Katanya, dengan pertambahan itu jumlah kumulatif kluster Covid-19 dikesan di Malaysia kini menjadi 2,338 kluster termasuk 1,625 kluster sudah tamat dan 713 kluster masih aktif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Beliau berkata berdasarkan analisa yang dijalankan, didapati jumlah kumulatif kes baharu COVID-19 yang dilaporkan pada ME ke-13 (sehingga 3 April 2021) adalah sebanyak 8,968 kes (52.0 peratus adalah kes sporadik).

“Pada ME ke-19, jumlah kes baharu COVID-19 pula adalah sebanyak 29,386 kes (77.7 peratus adalah kes sporadik). Negara kemudiannya merekodkan kes kumulatif mingguan tertinggi setakat ini pada ME ke-21, iaitu sebanyak 53,419 kes di mana 85.1 peratus adalah merupakan kes sporadik.

“Tren kes kes sporadik kekal tinggi pada ME ke-22 (sehingga 5 Jun 2021), dengan jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 52,040 kes (84.3 peratus adalah kes sporadik). Graf 1 menunjukkan peningkatan peratusan kes-kes sporadik COVID-19 berbanding kes-kes kluster mengikut ME,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.