Tidak pakai pelitup muka kesalahan tertinggi

22

5 JUN: Tidak memakai pelitup muka direkodkan sebagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling tinggi semalam, apabila mencatatkan 252 individu daripada keseluruhan individu ditahan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata jumlah individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP PKP semalam, menunjukkan peningkatan, iaitu 952 individu, berbanding 946, kelmarin.

Katanya, angka kesalahan tidak memakai pelitup muka itu juga menunjukannya sebagai kesalahan tertinggi bagi tiga hari berturut-turut, malah melebihi 900 individu setiap hari untuk tempoh sama.

“Semalam, 952 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP PKP dan daripada jumlah itu seramai 870 dikompaun, 81 direman, manakala seorang dijamin.

“Kesalahan lain yang direkodkan semalam adalah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis, iaitu seramai 176 individu, manakala rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan di premis (116) serta tidak patuh arahan kawalan pergerakan (110).

“Membawa penumpang berlebihan (98), tiada penjarakan fizikal (84), premis gagal mematuhi arahan (10) dan lain-lain (106),” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.