Potongan cukai buat penyumbang Akaun Amanah Bencana

33

5 JUN: Kementerian Kewangan (MOF) sahkan setiap sumbangan kepada Akaun Amanah Bencana oleh individu atau syarikat korporat layak mendapat potongan cukai.

MOF berkata perkara itu adalah selaras dengan Akta Cukai Pendapatan 1967, dengan syarat setiap sumbangan ke akaun berkenaan disokong oleh resit rasmi kerajaan (Kew. 38), atau dokumen pengesahan atau resit transaksi bagi sumbangan yang dikreditkan melalui saluran-saluran sistem perbankan rasmi.

Menurut kenyataan itu orang awam dan sektor swasta juga boleh menyumbang ke dalam Akaun Amanah Bencana yang ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana, bantuan untuk mengurangkan risiko bencana serta pengurusan mangsa bencana termasuk bencana penularan COVID-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia.

“Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun Persekutuan juga digalakkan untuk mempertimbangkan pemotongan gaji dan ganjaran kakitangan secara sukarela untuk disumbangkan ke dalam akaun tersebut.

“Ini sebagai tanda manifestasi solidariti dalam mengurangkan risiko COVID-19 yang sedang melanda negara.

“Akaun Amanah Bencana ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai oleh wakil-wakil dari MOF, Jabatan Akauntan Negara, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Pengoperasian akaun ini tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan rasmi, termasuk pengauditan berkala, yang ditetapkan bagi akaun-akaun amanah Kerajaan,” kata MOF dalam satu kenyataannya hari ini.

Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa gaji barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak diambil selama tiga bulan mulai Jun 2021 dan akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

Berikutan itu pada 1 Jun 2021, Ketua Setiausaha Negara juga mengumumkan bahawa potongan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) ataupun Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) penjawat awam juga dalam tempoh yang sama mulai Jun 2021.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.