PKP 3.0: Premis khusus jual arak tidak dibenarkan beroperasi

159

5 JUN: Semua kilang, kedai dan premis yang khusus menjual minuman keras tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, bagaimanapun tiada larangan penjualan minuman keras di premis perkhidmatan perlu, sekiranya syarikat perniagaan terbabit memiliki lesen menjual produk minuman itu yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP penuh bermula 1 Jun lalu sehingga 14 Jun.

Katanya, premis berkenaan, termasuk pasar raya, pasar mini, kedai serbaneka dan kedai runcit dengan sebahagiannya memiliki lesen dan seksyen khas menjual minuman keras.

ROSOL

“Perkara ini juga terpakai kepada rokok dijual dalam premis yang disenaraikan di bawah kategori perkhidmatan perlu, tertakluk kepada peraturan penjualan sepertimana ditetapkan.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 4 Jun memutuskan penjualan arak di pasar raya, pasar mini, kedai serbaneka dan kedai runcit dibenarkan sekiranya mempunyai lesen.

“Hanya kilang dan kedai yang khusus menjual arak tidak dibenarkan beroperasi,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Sebelum ini, MKN memutuskan semua kilang minuman keras di seluruh negara diarah tutup serta-merta sepanjang tempoh PKP penuh itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun kebenaran beroperasi diberikan kepada kilang berasaskan makanan dan minuman, namun perkara itu hanya bagi keperluan asas.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), turut memaklumkan semua premis yang khusus menjual minuman keras di Kuala Lumpur tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP penuh.

Menerusi kenyataan, DBKL berkata, penjualan minuman keras masih dibenarkan di kedai serbaneka, pasar raya dan kedai runcit sepanjang tempoh itu.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), premis yang terbabit dengan penjualan makanan hanya dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 8 malam dengan konsep bawa pulang sahaja,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.