Malaysia-China bincang isu ceroboh ruang negara

25

5 JUN: Isu pencerobohan 16 pesawat pejuang China di ruang udara Malaysia baru-baru ini akan dibincang oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi di luar Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-China di China, pada Isnin ini.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, berkata Hishammuddin akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat di Chongqing itu sempena ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China.

“Semua Menteri Luar ASEAN dan Wang Yi serta Setiausaha Agung ASEAN dijangka menghadiri mesyuarat itu,” kata kenyataan itu.

Ketika Mesyuarat Khas itu, Menteri Luar ASEAN dan China juga akan bertukar-tukar pandangan serta meneroka kaedah dan kerjasama dalam menangani wabak COVID-19, selain isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.

Hishammuddin dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan Wang Yi, selain meneroka perkongsian lebih substantif dan dinamik dalam pelbagai bidang termasuk kerjasama vaksin COVID-19, pembangunan infrastruktur, kewangan, ekonomi digital, pengeluaran makanan serta pertanian berteknologi tinggi.

Sebelum ini media melaporkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan iaitu sebanyak 16 pesawat Tentera Udara milik China iaitu People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei lalu.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dipetik sebagai berkata, penerbangan pesawat PLAAF berkenaan dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 malam waktu tempatan.

Pesawat berkenaan dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Pesawat tersebut telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapura sebelum memasuki ruang udara negara serta Kota Kinabalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.