Kes baharu di Negeri Sembilan melonjak

22

6 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 7,452 kes baharu positif harian COVID-19 hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia sekarang ialah 610,574 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor kekal negeri tertinggi mencatatkan kes harian dengan 2,509 kes dilaporkan hari ini sekali menjadikan jumlah keseluruhan 199,968 kes.

Dr Noor Hisham juga mengesahkan kadar kes COVID-19 di Negeri Sembilan melonjak kepada 843 berbanding 709 kes, semalam.

Beliau berkata Kuala Lumpur pula mencatatkan 678 kes; diikuti Sarawak (651), Johor (412), Sabah (259), Pulau Pinang (370),Kelantan (312), Perak (252), Kedah (263), Melaka (206), Pahang (286), Terengganu (190) dan Labuan (205)

“Putrajaya dan Perlis menjadikan negeri mencatatkan jumlah positif terendah iaitu masing-masing 12 dan empat kes,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan di akaun Facebooknya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) meluluskan Kajian Klinikal Produk SARS-CoV-2 Vaccine (Vero Cells), Inactivated Keluaran Shenzhen Kangtai Biological Products Co., Ltd dari China.

Dr Noor Hisham berkata kajian klinikal tambahan berkenaan membabitkan vaksin COVID-19 telah diluluskan oleh
NPRA pada 28 Mei 2021.

“Kajian klinikal ini melibatkan produk SARS-CoV-2 Vaccine (Vero Cells), Inactivated, 5μg/0.5mL yang dikilangkan oleh pengilang Shenzhen Kangtai Biological Products Co., Ltd. di negara China.

Beliau berkata kajian Klinikal Fasa 3 ini akan dijalankan di lapan (8) pusat penyelidikan di Malaysia selama 15 hingga 19 bulan dengan sasaran peserta sebanyak 3,000 orang dewasa yang berumur 18 tahun dan ke atas.

“Malaysia merupakan salah sebuah negara yang terlibat dalam kajian klinikal ini selain daripada Colombia, Argentina, Pakistan, Filipina dan Ukraine.

“Vaksin ini juga telah diluluskan oleh negara China melalui Emergency Use Approval pada 14 Mei 2021,” katanya.

Beliau berkata kajian klinikal vaksin COVID-19 yang dijalankan di Malaysia dapat memberikan maklumat klinikal yang berkaitan dengan keberkesanan dan keselamatan vaksin, serta maklumat berkenaan kesesuaian vaksin kepada rakyat Malaysia.

“Ini adalah kelebihan yang diperlukan oleh kerajaan untuk memacu ke arah capaian sasaran imuniti kelompok (herd immunity) melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang giat dijalankan di seluruh negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.