Ibadah korban dilarang dalam masjid, surau di Johor

47

5 JUN: Pelaksanaan ibadah korban pada Aidiladha tahun ini tidak dibenar dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh Johor.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, aktiviti itu hanya dibenarkan dibuat di rumah sembelihan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.

“Aktiviti sembelih, memotong, menimbang dan mengagihkan daging korban tidak dibenarkan dilakukan di masjid dan surau seluruh Johor.

YAHYA

“Agihan akan dilaksanakan terus pihak penganjur kepada peserta dan asnaf fakir miskin selepas selesai kerja ibadah korban di rumah sembelihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi tahun ini pusat penyembelihan yang berdaftar berjumlah 115 rumah sembelih sementara di negeri ini, 12 pemegang lesen swasta rumah penyembelihan (ruminan), lima rumah sembelih swasta sementara dan 10 Pejabat Perkhidmatan Veterinar di semua daerah.

Katanya, walaupun begitu pelaksanaan ibadah korban dibenarkan hanya melibatkan ibadah wajib.

Jelas beliau, ibadah korban wajib dimaksudkan ialah korban nazar dan korban kali pertama iaitu mereka berkemampuan tetapi belum melaksanakan ibadah tersebut sebelum ini.

“Tarikh dan masa dibenarkan ialah bermula 10 hingga 13 Zulhijjah. Bagaimanapun, pelaksanaan korban pada hari pertama hendaklah selepas solat sunat Aidiladha dan khutbah dilaksanakan,” katanya.

Waktu operasi rumah sembelihan berdaftar, katanya, tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.