Facebook gantung Donald Trump 2 tahun

11

5 JUN: Facebook semalam, menggantung akaun bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk tempoh dua tahun sehingga 2023.

Tindakan tersebut dibuat ekoran melanggar peraturan platform itu dalam insiden serangan penyokongnya di Capitol AS awal tahun ini.

Laman sosial berkenaan telah menggantung akaun Trump pada 7 Januari lalu iaitu sehari selepas rusuhan di bangunan Capitol AS pada 6 Januari apabila beliau dikatakan berperanan menghasut keganasan sehingga mencetuskan insiden rusuhan terbabit.

Naib Presiden Hal Ehwal Global Facebook, Nick Clegg, menegaskan Trump perlu dikenakan tindakan tegas itu kerana kesalahan dilakukannya adalah amat serius.

“Berdasarkan tahap keseriusan situasi yang membawa kepada penggantungan Trump, kami percaya tindakannya melanggar peraturan kami dan wajar dikenakan penalti maksimum di bawah penguatkuasaan protokol baharu,” katanya dalam satu hantaran.

Dalam kemas kini peraturannya, Facebook memaklumkan tidak lagi memberi imuniti kepada ahli politik untuk memuat naik kandungan yang mengelirukan atau kata-kata kesat di media sosial itu.

Menurut Clegg, pada penghujung tempoh penggantungan Trump, Facebook akan meminta beberapa pakar menilai sama ada aktiviti bekas Presiden AS itu di Facebook masih memberi ancaman kepada keselamatan awam.

“Jika didapati masih terdapat risiko yang serius kepada keselamatan awam, kami akan melanjutkan sekatan untuk tempoh tertentu dan terus membuat penilaian sehingga risiko itu berkurangan,” katanya.

Clegg berkata, Trump juga akan dikenakan beberapa sekatan yang boleh membawa kepada penggantungan selama-lamanya daripada Facebook jika terus melanggar peraturan media sosial itu.

Bulan lalu, panel pemantau bebas memaklumkan Facebook berhak menggantung Trump susulan komen berhubung tindakan penyokongnya yang merusuh di Capitol AS pada 6 Januari lalu, namun Facebook tidak sepatutnya mengenakan penggantungan selama-lamanya.

Dalam satu kenyataan, Trump menyifatkan penggantungan itu satu penghinaan kepada penyokongnya, dan mengulangi dakwaan kononnya pilihan raya Presiden AS tahun lalu dirompak daripadanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.