Bekas pesakit giat promosi pendaftaran vaksin COVID-19

73

5 JUN: Pengalaman menakutkan dijangkiti COVID-19 sehingga dimasukkan dua kali ke hospital menjadi perangsang kepada Mohd Daud Tampokong untuk turun padang mempromosikan kempen pendaftaran dan vaksinasi kepada masyarakat.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Semporna itu berkata, beliau kehilangan berat badan sebanyak 20 kilogram dalam tempoh kurang tiga minggu selepas positif tahap empat virus terbabit sebaik selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.

“Memang teruk, sesak nafas dan macam-macam lagi sehinggakan saya diberikan bantuan oksigen, malah doktor sahkan paru-paru dan buah pinggang saya diserang virus ini.

“Tapi syukur Alhamdulillah, saya mampu pulih dan kini sudah pun menerima dua suntikan vaksin COVID-19 sejak Mac lalu.

“Semangat juang saya untuk pulih demi berkhidmat kepada masyarakat, termasuk mendidik mereka untuk menjauhi COVID-19 membuatkan saya tidak pernah berputus asa melawan virus ini,” katanya.

Mohd Daud berkata, beliau kini menjalankan kempen bersama Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kepentingan pendaftaran dan pengambilan suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk Semporna.

Komitmen itu, katanya, bukan sahaja untuk berkongsi penderitaannya sebagai ‘mangsa terselamat’ pandemik terbabit, tetapi juga atas kesedaran bahawa ramai penduduk di daerah berkenaan yang dianggarkan kira-kira 160,000 orang, masih tidak mendaftar untuk pengambilan vaksin.

Golongan itu, katanya, memberikan alasan bimbang mengenai kesan buruk imunisasi bakal dialami mereka, seperti pelbagai persepsi negatif diuar-uarkan.

“Pengalaman disahkan positif COVID-19 bukannya cerita dongeng atau direka-reka. Siapa belum kena memang tidak tahu keperitannya.

“Melalui kempen mendaftar bersama kementerian itu yang turut diselitkan program vaksinasi, saya akan ceritakan pengalaman saya.

“Saya tidak mahu penduduk cepat percaya cerita yang mengatakan vaksin COVID-19 memberi keburukan disebabkan mereka mendengar pelbagai khabar angin,” katanya.

Sehingga kini, daripada keseluruhan jumlah penduduk Semporna itu, hanya kira-kira 4,000 orang divaksin, manakala jumlah pendaftaran untuk mendapatkan suntikan terbabit di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga sangat rendah, sehingga memaksa kempen penggalakkannya dijalankan dari kampung ke kampung di situ.

Mengulas lanjut, Mohd Daud berkata, disebabkan ramai penduduk di daerah itu takut menerima suntikan vaksin, sektor berkaitan, terutama pelancongan di Semporna turut terjejas teruk.

Katanya, pelancongan di Semporna yang membabitkan beberapa buah pulau, antaranya Mabul mampu bangkit semula jika penduduk segera mendaftar dan menerima vaksin, ditambah pakej ransangan diberikan kerajaan melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA +)  kepada sektor berkenaan, seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

“Kerajaan hendak membantu pengusaha dan pulihkan sektor pelancongan, jadi sekarang terpulang kepada penduduk untuk menyahut langkah kerajaan itu.

“Saya rayu penduduk segera terima vaksin dan janganlah dengar cerita rekaan dari orang-orang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.