Rakyat Jangan Bimbang, Lebih Banyak Vaksin Bulan Ini – Muhyiddin

93

4 JUN: Rakyat tidak perlu bimbang tentang penerimaan jumlah vaksin COVID-19 kerana Malaysia dijadualkan akan menerima lebih banyak vaksin mulai Jun ini. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penambahan jumlah vaksin ini juga akan diselaraskan seiring dengan pertambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan disediakan di seluruh negara. 

Justeru, beliau menyeru kepada orang ramai yang belum mendaftarkan diri perlu bertindak segera untuk menerima vaksin bagi menghindari penularan COVID-19. 

MUHYIDDDIN (kiri) melihat petugas kesihatan memberi suntikan pada penerima.

“Saya harap mereka segera berbuat demikian bagi memastikan usaha mevaksin seramai mungkin rakyat dapat dilaksanakan sekali gus dapat mencapai tahap ‘herd immunity’ sebagaimana dihasratkan.

“Saya juga berharap lebih ramai anggota masyarakat tampil menawarkan diri sebagai sukarelawan bagi membantu petugas kesihatan di PPV yang telah dan akan beroperasi di seluruh negara. 

“Di mana akhirnya tindakan itu akan membantu meningkatkan tahap kelancaran proses vaksinasi di semua PPV,” katanya menerusi hantaran di Facebook milik Perdana Menteri, hari ini. 

Dalam pada itu, menerusi hantaran sama, Muhyiddin turut memaklumkan beliau hari ini turun padang melihat sendiri perjalanan proses vaksinasi PPV berskala mega di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang telah dimulakan sejak 31 Mei lalu. 

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pagoh itu memaklumkan PPV MITEC merupakan salah satu daripada sembilan PPV mega di seluruh negara dengan kemampuan maksimum untuk memberikan 6,000 suntikan dos sehari.

“Saya dapati proses vaksinasi berjalan lancar malah rata-rata mereka yang hadir janji temu menyatakan berpuas hati dengan pengurusan PPV kerana tidak perlu menunggu terlalu lama dari mula mendaftar sehingga diberi suntikan. 

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada lebih 300 petugas termasuk sukarelawan di PPV MITEC yang begitu dedikasi memastikan proses vaksinasi berjalan lancar. 

“Saya harap PPV ini menjadi contoh kepada PPV lain dari segi pengurusan proses vaksinasi harian masing-masing,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.