Ahmad Nazlan belum terima notis saman

183

4 JUN: Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris belum menerima notis saman daripada mana-mana pihak susulan dakwaannya berhubung isu tanah membabitkan LGM Properties Corporation (LGMPC).

Perkara itu disahkan seorang pegawainya ketika dihubungi Portal PN BBC, hari ini.

Menurutnya, Ahmad Nazlan yang juga bekas pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) hanya mengetahui mengenai tindakan saman ingin dikemukakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Khairuddin Aman Razali kepada beliau itu, melalui media.

“Setakat ini pejabat Ahli Parlimen Jerantut tidak menerima apa-apa notis saman berhubung isu terbabit, malah Datuk pun tiada maklumkan apa-apa mengenainya.

AHMAD NAZLAN

“Pihak kami tahu pun selepas membaca kenyataan dalam akhbar,” katanya.

Pada 27 Mei lalu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan beberapa surat rasmi bertarikh 18 Disember, 6 Januari dan 11 Mac yang didakwa berkaitan tanah milik LGM dan pembabitan Khairuddin dalam perkara berkenaan.

Khairuddin didakwa meluluskan pajakan tanah di Lot 20013 Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation pada harga 70 sen sekaki persegi berbanding harga pasaran RM2.50 sekaki bagi tempoh 15 + 10 tahun, dengan kenaikan kadar pajakan 10 peratus setiap lima tahun.

Selain itu, dakwaan turut membabitkan Lot 20012 di Jalan Ampang seluas 8.89 ekar yang dicadangkan dijual kepada Eurowhite Sdn Bhd pada harga RM1,032.92 sekaki, sedangkan harga pasaran sekitar RM1,400 sekaki.

Dakwaan itu disokong Nazlan yang mendakwa Khairuddin campur tangan dalam isu tanah agensi terbabit.

Bagaimanapun, LGM menafikan campur tangan itu, sambil mengulangi tiada perjanjian pajakan atau transaksi jual beli ditandatangani mana-mana pihak berhubung dua lot tanah di Jalan Ampang terbabit.

LGM turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan maklumat kurang tepat berkaitan isu pajakan dan penjualan tanah miliknya.

Khairuddin pula mendakwa serangan terhadapnya membabitkan isu tanah LGM didalangi pihak yang rapat dengan pimpinan UMNO dan beliau sedang mengambil tindakan terhadap pihak memfitnahnya.

Susulan isu terbabit, Ahmad Nazlan dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dan hari ini.

Kehadiran beliau ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini juga dikongsikannya menerusi muat naik di Facebook.

“Alhamdulillah hari kedua membantu pihak SPRM di Putrajaya dalam mencari kebenaran tanpa sebarang niat mengaib jauh sekali memfitnah sesiapa,” katanya.

Sementara itu, pegawai Ahmad Nazlan turut mengulas maklumat berhubung kehadirannya bertemu pihak suruhanjaya berkenaan.

“Betul, Datuk memasuki pejabat SPRM di Putrajaya sejak jam 2.30 petang, tetapi setakat 5 petang masih belum keluar dan tidak pasti bila habis.

“Semalam beliau masuk jam 12 lebih tengah hari, keluar 5 petang,” katanya.

Kehadiran Ahmad Nazlan ke Suruhanjaya itu, katanya adalah bagi membantu siasatan isu terbabit.

Ditanya adakah esok atau hari seterusnya beliau akan dipanggil memberi keterangan di suruhanjaya itu, jelasnya, perkara terbabit belum diketahui.

“Semalam pun ingat sehari sahaja, tetapi selepas habis memberi keterangan, pihak SPRM maklumkan hari ini juga perlu hadir,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.