Semak Pemohonan CIMS 3.0 Dengan Teliti – MTUC

74

3 JUN: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyeru Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyemak permohonan daripada syarikat secara teliti terutamanya perkilangan yang bukan terdiri daripada sektor keperluan. 

Setiausahanya, Kamarul Baharin Mansor berkata ini perlu dilaksanakan oleh pegawai MITI untuk menyemak dan melihat sendiri pengeluaran kebenaran itu dan tidak bergantung kepada pengakuan industri melalui sistem CIMS sahaja.

Menurut beliau, ini kerana pihak industri akan cuba mengaitkan pengeluaran kilang dengan industri perlu bagi membolehkan mendapat kelulusan daripada MITI.

“MTUC merasa sangsi dengan kebenaran MITI terhadap kilang kasut, kilang buku, kilang besi, kilang opto dan beberapa kilang yang tidak tergolong dengan senarai perkilangan perlu. Adakah kilang ini beri maklumat yang tidak benar atau ada pegawai MITI telah melawat kilang tersebut. 

MTUC gesa MITI semak permohonan syarikat dengan diteliti agar tiada penipuan berlaku.

“Kekeliruan ini menyebabkan pekerja menjadi mangsa keadaan. Jika tidak hadir bekerja atas pengetahuan bahawa kilang bukan dalam perkhidmatan perlu, syarikat akan mengambil tindakan disiplin sehingga pemberhentian kerja. 

“Pekerja boleh disaman oleh pihak berkuasa atas kesalahan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa bekerja. Pekerja akan diambil tindakan disiplin jika syarikat mendapat maklumat bahawa pekerja membuat aduan kepada MITI,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Justeru, Kamarul Baharin berkata, MITI perlu menjelaskan syarat-syarat yang membolehkan sektor perkilangan beroperasi. 

“Ini membolehkan pekerja membuat penilaian dan seterusnya  melaporkan kepada MITI jika syarikat tidak memenuhi syarat-syarat untuk beroperasi,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan MTUC mendesak agar MITI memberi kebenaran kepada Pegawai Kesatuan Sekerja untuk bekerja agar isu-isu yang dihadapi pekerja dapat diselesaikan. 

“Keperluan Pegawai Kesatuan Sekerja adalah selari dengan keputusan MITI membenarkan pekerja dalam industri keperluan bekerja. 

“Kegagalan MITI meluluskan Pegawai Kesatuan Sekerja akan memperlihatkan bahawa isu pekerja tidak diutamakan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.