Saya tutup pintu semalam sebab mahu pulang-Ismail Sabri

140

3 JUN: Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta segala persoalan dan masalah berbangkit berhubung kelulusan perjalanan serta operasi pengamal media ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perlu diajukan terus kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya, seperti diperuntukkan kerajaan, media adalah antara 17 perkhidmatan perlu di bawah bidang komunikasi yang dibenarkan beroperasi.

“Media sebenarnya antara 17 perkara yang saya dah umumkan di bawah komunikasi dan media disebutkan secara jelas tanpa memperincikan apa jenis media kerana saya takut orang confuse (keliru), sebab bila saya sebut penyiaran, takut orang ingat itu untuk televisyen dan sebagainya.

“Jadi saya tulis dalam pengumuman tu media, makna semua jenis media termasuk dalam keperluan asas yang kita benarkan.

“Justeru, jika terdapat perkara berbangkit berhubung operasi media ketika tempoh PKP penuh, itu kena tanya MITI lah,” katanya pada sidang media Pelancaran Pembinaan Hospital Modular COVID-19 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan secara maya di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai isu terdapat media sukar melepasi sekatan jalan raya (SJR) dan dikompaun walaupun sudah menunjukkan pas dikeluarkan Jabatan Penerangan dan surat Kementerian berkaitan.

Berhubung keluhan orang ramai mengenai kekeliruan kebenaran operasi perkhidmatan perlu ketika PKP penuh pula, Ismail Sabri turut meminta perkara itu  dikemukakan kepada MITI.

Jelasnya, kelulusan membabitkan operasi sudah diserahkan kepada MITI bagi membuat keputusan.

“Perkara ini sedang diuruskan MITI, wajar tanya kepada MITI, saya sukar nak jawab sebab kita sudah menyerahkannya kepada MITI, jadi MITI boleh jawab,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai hantaran gambar beliau menutup pintu pejabatnya di Kementerian Pertahanan bersama tanda sedih di Facebook rasminya, semalam, Ismail Sabri menjawab ringkas dengan mengatakan tindakan terbabit kerana beliau mahu pulang.

“Itu sebab saya nak pulang, sudah habis kerja, sebab itu tutup pintu,” katanya.

Menerusi hantaran itu, beliau menulis  “Saya dah tutup pintu depan tapi…..” yang menimbulkan pelbagai persoalan, selain menerima lebih 70,000 tanda suka serta lebih 13,000 perkongsian.

Ada pihak turut membuat spekulasi kononnya hantaran terbabit menggambarkan kekecewaan dirasai Ahli Parlimen Bera itu akibat ‘kemelut’ politik dalaman pemimpin kerajaan berhubung pengendalian peraturan dan kelulusan ketika PKP penuh. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.