Program vaksinasi khas untuk pekerja perindustrian, perkilangan

77

3 JUN: Kerajaan Persekutuan akan melancarkan program pemberian vaksinasi COVID-19 khas untuk pekerja sektor perindustrian dan perkilangan, dalam masa terdekat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membolehkan program berkenaan dapat direalisasikan secepat mungkin.

Justeru itu, Khairy berkata selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, kerajaan bersetuju membuka dua pusat pemberian vaksin (PPV) di kawasan perindustrian Bayan Lepas dan Batu Kawan bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada pekerja sektor perkilangan di Pulau Pinang.  

“Sebagai salah sebuah hab perindustrian penting negara, Ketua Menteri meminta agar program vaksinasi di negeri Pulau Mutiara ini dipercepatkan kerana beberapa sektor ekonomi penting kini tetap dibuka.

“Hasil perbincangan, saya bersetuju untuk membekalkan dos vaksin kepada Pulau Pinang dengan lebih cepat agar lebih ramai pekerja industri boleh divaksinasi segera seterusnya mengelakkan pertambahan kluster baharu jangkitan COVID-19 di sektor perkilangan dan tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan selepas meninjau kemudahan di PPV Mega di Spice Arena, Bayan Lepas hari ini.

PPV Spice Arena itu merupakan PPV mega pertama di negeri ini dan akan mula beroperasi pada 7 Jun ini dengan sasaran pemberian vaksin kepada antara 1,000 hingga 3,000 orang sehari pada peringkat awal pelaksanaannya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pihaknya akan meningkatkan penghantaran bekalan vaksin kepada Pulau Pinang pada Julai dan Ogos ini bagi memastikan program pemberian vaksin kepada penduduk negeri ini dapat dipercepatkan.

Berikutan itu, Khairy berkata beberapa PPV awam akan dibuka termasuk di Tapak Pesta, Sungai Nibong minggu depan selain tiga PPV hospital swasta yang turut beroperasi 7 Jun ini iaitu Hospital KPJ Penang; Hospital Pantai dan Hospital Lim Wah Ee.

Dalam pada itu Khairy berkata, pihaknya akan meneliti cadangan pembukaan pusat vaksin secara pandu lalu termasuk yang dicadangkan untuk dibuka di Universiti Sains Malaysia (USM).

Jelas beliau, terdapat garis panduan tertentu bagi pembukaan pusat itu termasuk memastikan tidak menyebabkan berlakunya kesesakan trafik memandangkan mereka yang menerima suntikan masih perlu dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh 15 minit.

Berhubung permintaan kerajaan negeri dan hospital swasta untuk membeli vaksin sendiri, Khairy sekali lagi menegaskan Kerajaan Pusat tidak menghalang mana-mana pihak untuk berbuat demikian.

Katanya, kebenaran itu termasuk untuk membawa masuk mana-mana vaksin yang sudah diberi kelulusan Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

“Cuma bagi tiga jenis vaksin yang digunakan Kementerian Kesihatan ketika ini iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, bekalan vaksin ini perlu dipenuhi kepada Kerajaan Pusat terlebih dahulu sebelum boleh dibeli pihak lain,”katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.