Polis sahkan penahanan pemimpin STAR bantu siasat kes cabul

104

3 JUN: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali mengesahkan penahanan seorang pemimpin Parti Star bagi membantu siasatan kes cabul membabitkan seorang peserta Unduk Ngadau atau Ratu Kaamatan di Sabah, seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Hazani berkata lelaki terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana didakwa mencabul kehormatan seorang peserta Ratu Kaamatan baru-baru ini.

Difahamkan bekas penyelaras sebuah parlimen mewakili parti Star berkenaan ditahan polis selepas mengadakan sidang media bagi menafikan dakwaan berkenaan di pejabatnya di Kota Kinabalu, Sabah, kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

“Kita akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas lelaki terbabit dalam masa terdekat (esok) bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Polis juga sudah selesai merakam keterangan wanita yang mendakwa menjadi mangsa cabul berkenaan hari ini dan besar kemungkinan akan memanggil beberapa saksi untuk melengkapkan kertas siasatan,” ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, polis dilaporkan akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap laporan dibuat seorang peserta Unduk Ngadau, baru-baru ini, mendakwa dicabul salah seorang ahli jawatankuasa (AJK) penganjur pertandingan itu.

Berikutan itu polis akan memanggil pengadu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan yang dijalankan secara telus dan adil tanpa mengira latar belakangan individu terbabit.

Mengulas lanjut, Hazani berkata, hasil siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut apabila siap nanti.

Terdahulu, satu laporan polis bertarikh 21 Mei lalu oleh seorang peserta Unduk Ngadau mendakwa diraba salah seorang AJK penganjur, tular dalam media sosial sejak baru-baru ini. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.