Netanyahu tumbang, Lapid isytihar berjaya bentuk gabungan kerajaan baharu

137

3 JUN. : Ketua Pembangkang, Yair Lapid berjaya membentuk gabungan bagi menubuhkan kerajaan baharu Israel sekaligus menjatuhkan pemerintahan Benjamin Netanyahu yang memegang kuasa selama 12 tahun sebagai Perdana Menteri.

Gabungan baharu itu diumum disaat-saat akhir setelah Lapid berjaya mendapatkan sokongan parti sayap kiri Israel dalam usaha untuk menjatuhkan Netanyahu yang memegang jawatan Perdana Menteri paling lama dalam sejarah politik Israel.

Menurut satu kenyataan parti Yesh Atid, Presiden Israel, Reuven Rivlin telah dimaklumkan oleh Lapid bahawa beliau telah berjaya mengumpul kerusi majoriti bagi membentuk gabungan kerajaan baharu tersebut.

Pemimpin parti kanan yang juga jutawan teknologi, Naftali Bennett, 49, seperti yang dijanjikan Lapid akan berkhidmat sebagai Perdana Menteri pertama sebelum beliau sendiri mengambil alih jawatan itu dalam tempoh dua tahun menerusi sistem giliran.

Lapid, bekas penyampai berita pada Ahad lalu berhasil meraih sokongan penting Bennet yang juga ketua Parti Yamina.

Dalam usaha membentuk blok anti-Netanyahu, Lapid menandatangani perjanjian bersama tujuh parti politik termasuk Parti New Hope yang dipimpin bekas sekutu Netanyahu, Gideon Saar dan Parti Yisrael Beitenu yang dipimpin Avigdor Lieberman.

Mansour Abbas, pemimpin Parti Raam, sebuah parti konservatif Islam Arab-Israel bersetuju menyertai gabungan itu semalam.

Abbas dikatakan bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaa baharu tersebut selepas mencapai kata sepakat dengan Yair Lapid berhubung beberapa isu membabitkan masyarakat Arab.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.