Laporan siasatan kemalangan tren LRT dibentang 9 Jun ini

18

3 JUN: Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan bagi menyiasat insiden kemalangan tren transit aliran ringan (LRT), baru-baru ini, sudah melaksanakan beberapa perkara dan kajian untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata perkara dan kajian itu, termasuk menyemak prosedur operasi standard (SOP), manual operasi, ‘Rule Book’ dan dokumen panduan operasi berkaitan.

“Laporan jawatankuasa ini turut merangkumi data yang dikumpul daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), temu siasat bersama pihak berkaitan dan perbincangan teknikal lain bersama pembekal teknologi.

“Bagi mendapatkan gambaran kejadian dengan lebih jelas, satu lawatan diadakan ke pusat kawalan operasi (OCC) LRT Kelana Jaya di Lembah Subang pada 1 Jun 2021, diikuti dengan sesi simulasi kemalangan di tempat kejadian dijalankan pihak Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) pada hari sama,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ka Siong berkata, laporan itu akan 
dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 9 Jun 2021 bagi mengemukakan cadangan-cadangan untuk meningkatkan keselamatan pengangkutan awam, seterusnya mencegah kejadian sama berulang.

Sejurus insiden tren itu pada 24 Mei lalu, keesokannya Kementerian Pengangkutan menubuhkan jawatankuasa berkenaan yang diberi masa 14 hari bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian terbabit.

Menurut Ka Siong, jawatankuasa diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan terdiri daripada sembilan ahli itu bertanggungjawab mengumpulkan segala dokumen, data dan maklumat berkaitan aspek teknikal serta keselamatannya.

Jelasnya, tujuan penyiasatan itu bukan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak, sebaliknya menjurus kepada mengenalpasti hal keadaan serta punca sebenar perlanggaran tren 40 dan tren 81 di antara Stesen KLCC dan Kampung Baru bagi mengelakkan insiden sama berlaku di masa hadapan.

Beliau berkata, susulan penubuhan jawatankuasa itu juga, beberapa siri mesyuarat penyelarasan turut diadakan.

Malah, katanya, kerajaan turut akan terus mencari jalan penyelesaian dan meningkatkan tahap keselamatan pengguna pengangkutan awam yang sentiasa menjadi keutamaan. –Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.