Kucing lahir anak berkepala dua di Putrajaya

20

3 JUN: Seorang penduduk Presint 18, Putrajaya terkejut apabila mendapati kucing kesayangannya melahirkan anak kucing berkepala dua baru-baru ini.

Bagaimanapun, pencinta kucing, Nurashikin Nusuri, 32, menyatakan dia terkilan kerana tidak berjaya menyelamatkan anak kucing berkepala dua terbabit yang menemui ajal tidak sampai 24 jam selepas dilahirkan.

“Saya tidak pernah lihat kucing seperti itu sebelum ini dan anggap kelahirannya sebagai tanda kebesaran Allah. Namun saya rasa sedih kerana tidak dapat menyelamatkan anak kucing istimewa itu yang mati tidak sampai 24 jam selepas dilahirkan.

“Kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam, seekor daripada kucing saya iaitu Oya yang bunting nampak tidak keruan kerana hampir melahirkan anak.

“Memandangkan ada pengalaman sebelum ini, saya cuba bantu Oya dengan mengurut badannya supaya mudah melahirkan anaknya. Dua jam kemudian iaitu kira-kira jam 2.30 pagi, Oya selamat melahirkan enam ekor anak tetapi seekor daripadanya istimewa kerana berkepala dua,” katanya yang memuat naik beberapa keping gambar anak kucing berkepala dua berkenaan di Facebook (FB) Saya Sayang Kucing-Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Nurashikin berkata, niatnya berkongsi kisah itu di FB sekadar untuk meluahkan perasaannya saja tetapi terkejut apabila menerima reaksi di luar jangkaan.

“Saya muat naik kisah itu bagi berkongsi kesedihan kerana tidak dapat menyelamatkan kucing berkenaan.

“Jujurnya, saya tidak tahu ada kucing dilahirkan dengan dua kepala sebelum ini sehingga membaca komen netizen yang berkongsi mengenai kisah sama di luar negara.

“Apapun, saya bersyukur kerana berpeluang menjaga anak kucing itu walaupun hanya seketika,” katanya yang gemar memelihara kucing sejak empat tahun lalu yang kebanyakannya diberi oleh pemilik asal.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.