Kilang di Melaka ditutup seminggu, 300 pekerja positif

60

3 JUN: Sebuah kilang elektronik di Batu Berendam, Melaka diarah tutup sepenuhnya selama seminggu selepas hampir 300 pekerjanya disahkan positif COVID-19, sejak beberapa hari lalu.  

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan terbabit terpaksa dilakukan selepas 299 pekerja kilang elektronik terbesar di Melaka itu termasuk beberapa ahli keluarga mereka disahkan positif COVID-19.

Rahmad berkata Jabatan Kesihatan Melaka mengarahkan kilang berkenaan ditutup serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat punca sebenar jangkitan COVID-19 di premis berkenaan.

RAHMAD

“Penutupan ini juga membolehkan Jabatan Kesihatan Melaka mengesah kontak rapat dan individu yang pernah berhubung dengan pekerja kilang terbabit.

“Langkah penutupan berkenaan perlu diambil bagi mengawal penularan wabak COVID-19 daripada terus merebak dalam komuniti di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, pusat pentadbiran kerajaan Melaka di Kompleks Seri Negeri juga diarah tutup selama seminggu bermula 31 Mei lalu sehingga hari ini selepas tujuh kes positif COVID-19 dikesan di lokasi terbabit.

Beliau berkata, penutupan itu bagi membolehkan pengesanan kontak rapat, saringan serta sanitasi dilakukan Jabatan Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri.

“Setakat ini, tujuh kes positif dikesan membabitkan enam kes di Blok Bentara (Kewangan) manakala satu lagi kes di Blok Laksamana. Sebanyak 178 saringan sudah dilakukan ke atas rakan sekerja dan kontak rapat kepada pesakit COVID-19 terbabit.

“Bagaimanapun punca jangkitan ketujuh-tujuh kes berkenaan masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.