Hospital Modular ATM rawat penyakit berjangkit bakal dibina

75

3 JUN: Kerajaan bakal membina Hospital Modular Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi merawat penyakit berjangkit, termasuk COVID-19 yang boleh memuatkan 64 katil.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, pusat rawatan bakal dibina di dalam kawasan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur itu dibangunkan menerusi sumbangan syarikat pembinaan dan infrastruktur, WCT Building Values yang bernilai lebih RM20 juta. 

Katanya, hospital modular itu menggunakan konsep Pre-Fabricated Modules, iaitu modul pasang Siang yang boleh memuatkan 64 katil, termasuk 16 katil unit rawatan rapi (ICU).

“Struktur dan kelengkapan asas modul ini memenuhi keperluan bagi kawalan penyakit berjangkit serta sesuai digunakan bagi rawatan COVID-19 bagi kesemua kategorinya, malah ketika pandemik ini, kompleks hospital modular berkenaan boleh merawat kes kritikal dikendalikan ATM dan mana-mana agensi berkaitan. 

“ATM memberikan komitmen penuh bagi melengkapkan dan mengoperasikan Hospital Modular dibangunkan ini,” katanya pada sidang media Pelancaran Pembinaan Hospital Modular COVID-19 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan secara maya di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, hari ini. 

Ismail Sabri berkata, dalam jangka masa panjang, hospital modular itu boleh digunakan sebagai sebahagian daripada Kesiagaan Pertahanan Terhadap Ancaman Biologi pada masa hadapan.

“Selain itu, boleh digunakan sebagai Pusat Latihan Klinikal dan Kawalan Penyakit Berjangkit kepada pelajar perubatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta petugas kesihatan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera dan pelbagai agensi berkaitan, selain Pusat Latihan dan Simulasi Makeshift Hospital bagi anggota kesihatan ATM.

“Diharapkan, sumbangan diterima ini dapat memberikan manfaat optimum kepada ATM dan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, ATM merancang membuka lapan hospital medan tambahan di seluruh negara.

“Berdasarkan kemampuan, kita boleh membuka dua lagi hospital medan, namun dengan pengumuman Perdana Menteri, baru-baru ini bahawa bajet akan ditambah, kita boleh menambah enam hospital medan menjadikan jumlah semuanya sebanyak lapan hospital medan.

“Kita memiliki jumlah doktor mencukupi dan kemampuan kita juga bertambah apabila permohonan kita diluluskan Kementerian Kewangan,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.