ADUN PN Perak potong gaji 50 peratus

44

3 JUN: Semua sembilan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Perak bersetuju membuat pemotongan gaji 50 peratus selama tiga bulan untuk disalurkan kepada Tabung Bencana COVID-19.

Mereka terdiri daripada ADUN Chenderiang yang juga Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; ADUN Semanggol Razman Zakaria; Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik), Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah).

Turut berbuat demikian ialah, Datuk Abdul Yunus Jamahari (Kuala Kurau), Khalil Yahaya (Kubu Gajah), Paul Yong Choo Kiong (Tronoh) dan A Sivasubramaniam (Buntong).

Ahmad Faizal berkata, pemotongan gaji itu sebagai merasai denyut nadi rakyat ketika berdepan pandemik COVID-19, sekali gus menyambut saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ahli Dewan Negeri Perak dari kalangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS yang mendokong PN Negeri Perak dengan ini bersetuju membuat pemotongan gaji sebanyak 50 peratus bermula Jun sehingga Ogos ini bagi disalurkan dalam Tabung Bencana COVID-19.

“Tindakan ini membuktikan keprihatinan ADUN dalam kalangan pemimpin PN Perak atas permasalahan rakyat yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.