1MDB : Deloitte pulangkan RM366 juta kepada kerajaan

26

3 JUN: Kerajaan mengesahkan menerima bayaran sebanyak RM336 juta yang telah dideposit ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account) oleh Deloitte PLT (Deloitte). 

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan memaklumkan wang tersebut adalah sebahagian daripada penyelesaian berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

“Sehingga kini, akaun amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara – telah menerima sebanyak RM16.386 bilion yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB. Jumlah di dalam Akaun Amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC.

“Baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dalam masa terdekat. Di samping itu, rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG,” katanya. 

Dalam pada itu, MOF turut memaklumkan, setakat ini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC.

“Setakat 31 Mei 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.66 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC),” katanya. 

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja.

Menurut beliau, setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh Kerajaan melalui Jaminan Kerajaan dan Surat Sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan.

“Usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh Kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak-pihak yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC.

“Ini termasuk mereka yang telah menerima wang SRC yang disamarkan sebagai aktiviti kebajikan (CSR). Semua yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui penglibatan di dalam 1MDB dan/atau SRC,” katanya. 

Terdahulu, MOF mengumumkan bahawa Deloitte PLT (Deloitte) telah bersetuju dengan suatu penyelesaian bernilai RM324 juta (US$80 juta) untuk menyelesaikan semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka di dalam pengauditan akaun 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) bagi tempoh 2011-2014.

Penyelesaian oleh Deloitte ini merupakan penyelesaian berkaitan 1MDB terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.