1,121 aduan majikan tidak benar BDR

37

3 JUN: Kementerian Sumber Manusia (KSM) terima 1,121 aduan berhubung majikan tidak membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) menerusi aplikasi Working for Workers (WFW) dalam tempoh sembilan hari lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata pihaknya juga menerima 16 jenis aduan lain, sejak aplikasi berkenaan diperkenalkan pada 23 Mei lalu.

Katanya, pegawai penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) diberikan kuasa mengkompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berkuat kuasa 1 Jun lalu.

SARAVANAN

“Langkah ini bertujuan melaksanakan aktiviti penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berhubung keperluan 40 peratus pekerja sektor swasta untuk BDR.

“Jadi, mana-mana syarikat atau premis yang didapati tidak mematuhi arahan BDR terkini dan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) akan diarahkan tutup serta-merta selama tujuh hari dan dikompaun maksimum RM50,000.

“Keputusan ini dibuat berikutan peningkatan ketara jumlah aduan diterima melalui aplikasi WFW berhubung majikan tidak membenarkan pekerja untuk BDR. Sejak kategori BDR ini dibuka untuk aduan pada 23 Mei lalu, sejumlah 1,121 aduan diterima KSM sehingga semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas aduan membabitkan 16 kategori lain, Saravanan berkata, menerusi aplikasi WFW, pihaknya menerima 1,767 aduan termasuk membabitkan aduan gaji tidak dibayar dan pembayaran gaji lewat merangkumi 260 kes.

Beliau berkata, aduan pembuangan kerja tanpa notis merekodkan 73 kes, tiada pembayaran lebih masa dan faedah pemberhentian pula 63 kes serta lain-lain.

“Negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan sehingga kini adalah Selangor (580 kes), diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (511 kes), Johor (223 kes), Pulau Pinang (134 kes) dan lain-lain.

“Jadi, saya menggesa semua majikan mematuhi dan memberikan kerjasama sepenuhnya SOP ditetapkan kerajaan terutama dalam tempoh kritikal ini.

“Ini kerana usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 memerlukan sokongan semua pihak termasuk majikan dan pekerja,” katanya.

Pada masa sama, Saravanan berkata, pihaknya komited memastikan hak dan kebajikan pekerja terus terpelihara, selain mengambil tindakan segera berkaitan isu perburuhan yang dihadapi pekerja.

Selain mengingatkan pekerja sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi membendung penularan COVID-19, beliau menasihati golongan itu memanfaatkan aplikasi WFH untuk menyalurkan aduan dan masalah dihadapi mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.