WHO luluskan Vaksin Sinovac, tingkatkan keyakinan global

40

2 JUN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan vaksin Sinovac dari China akan meningkatkan keyakinan global terhadap pelalian keluaran syarikat tersebut.

Perkara itu dikongsikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memaklumkan bekalan 12 juta CoronaVac dapat menjamin manfaat terhadap 18 peratus penduduk.

“Vaksin Sinovac telah mendapat kelulusan daripada WHO. Ia selamat dan berkesan,” katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya, hari ini. 

Dalam pada itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi ciapan Twitter miliknya mengesahkan perkara tersebut. 

“Ini bermaksud Vaksin Sinovac COVID-19 yang digunakan di Malaysia (Pfizer, AstraZeneca & Sinovac) telah disahkan oleh WHO,” katanya. 

Terdahulu, WHO menerusi kenyataan sebelum ini meluluskan vaksin Sinovac dari China bagi kegunaan kecemasan.

WHO memaklumkan, vaksin itu merupakan vaksin kedua dari China yang mendapat kebenaran tersebut daripada WHO selepas Sinopharm.

Perkembagan mutakhir itu memberikan laluan untuk suntikan vaksin itu digunakan dalam program Covax yang bertujuan memastikan akses sama rata.

“Kelulusan kecemasan bermakna vaksin memenuhi kriteria piawaian antarabangsa bagi tujuan keselamatan, keberkesanan dan pembuatan.

“Kajian menunjukkan Sinovac mampu mencegah penyakit simptomatik lebih separuh daripada individu yang diberikan suntikan vaksin serta mencegah daripada gejala atau kesan sampingan yang teruk dan dimasukkan ke hospital,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia memutuskan untuk menggunakan CoronaVac yang dibeli secara pukal daripada Sinovac sebelum dibotolkan oleh syarikat farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga LifeSience Sdn Bhd.

Sebanyak 290,480 bebuli (vial) telah diserahkan Pharmaniaga kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk diagihkan ke pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.