Usaha akhir ‘Blok Perubahan’ Israel tumbangkan pemerintahan Netanyahu

39

2 JUN: Ahli politik Israel yang berjuang menumbangkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, kini berusaha melakukan rundingan segera pada saat akhir bagi menubuhkan parti gabungan.

Barisan pemimpin itu mempunyai masa sehingga tengah malam ini (waktu tempatan) bagi mengakhiri pemerintahan 12 tahun berturut-turut Netanyahu yang menyaksikannya sebagai Perdana Menteri paling lama menerajui kerajaan Israel.

Usaha itu dipimpin bekas penyampai televisyen, Yair Lapidmyang meraih sokongan penting seorang jutawan teknologi yang juga nasionalis agama sayap kanan, Naftali Bennett.

“Pasukan gabungan berunding sepanjang malam dan ada kemajuan bagi mewujudkan kerajaan perpaduan serta perbincangan lebih lanjut dijadualkan pada sebelah siang,” kata jurucakap Bennett menerusi kenyataan.

Bagaimanapun, bagi mencapai majoriti 61 kerusi daripada keseluruhan 120 kerusi di Knesset, pakatan itu harus memasukkan penyertaan parti sayap kiri dan kanan, selain mungkin memerlukan sokongan ahli politik Arab-Israel.

Keadaan itu akan menghasilkan pemerintahan dengan perbezaan ideologi mendalam mengenai isu yang menjadi perhatian, iaitu penempatan Yahudi di Tebing Barat dikuasai Israel dan peranan agama dalam politik.

Lapid, pemimpin parti Yesh Atid, ditugaskan Presiden, Reuven Rivlin membentuk kerajaan selepas Netanyahu sekali lagi gagal memperoleh majoriti berikutan pilihan raya keempat Israel tidak meyakinkan dalam tempoh kurang dua tahun.

Malah, Lapid dilaporkan bersetuju membenarkan Bennett yang mengetuai parti Yamina, memegang jawatan Perdana Menteri terlebih dulu dalam proses penggiliran jawatan itu, sebelum mengambil alih pada penggal seterusnya.

Pergolakan politik terbaharu Israel itu, menambah kesengsaraan Netanyahu yang turut menghadapi dakwaan penipuan, rasuah dan pecah amanah ketika memegang jawatan, namun dia menafikannya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.