Tengku Zafrul jawab soalan orang ramai di media sosial

39

2 JUN: Biarpun sibuk dengan tugas hariannya sebagai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sanggup meluangkan masanya sepanjang minggu ini untuk menjawab pelbagai soalan dikemukakan oleh ramai berhubung Pakej Bantuan PEMERKASA Plus bernilai RM40 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Tengku Zafrul berkata beliau berbuat demikian selepas mendapati masih ramai individu mempunyai banyak persoalan mengenai inisiatif PEMERKASA Plus itu.

“Salam semua. Saya dapati terdapat banyak soalan bertulis yang dihantar melalui Telegram. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang menghantar soalan.

“Namun bagi memudahkan proses penyelarasan soalan, Akaun Telegram TanyaTengkuZafrul adalah platform khas bagi yang ingin bertanyakan soalan melalui hantaran video berdurasi 10 hingga 20 saat.

“Saya juga mohon kerjasama mereka yang menghantar video untuk memperkenalkan diri sebelum bertanya soalan.

“Bagi soalan bertulis pula, ia boleh diajukan di posting #TanyaTengkuZafrul di platform media sosial saya. Insya-Allah, proses penyelarasan soalan akan lebih mudah dengan kerjasama anda. Terima kasih sekali lagi.,” katanya dalam satu kenyataan.

Ruang soalan di media sosial itu akan dibuka sehingga 8 pagi sehingga esok.

Sebelum ini Kerajaan mengumumkan pakej bantuan bernilai RM40 bilion menerusi Program PEMERKASA Plus termasuk suntikan fiskal langsung  berjumlah RM5 bilion bagi membantu golongan terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mulai 1 Jun 2021.

Perdana Menteri, dipetik sebagai berkata pelaksanaan Program PEMERKASA Plus ini mempunyai tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam; meneruskan agenda prihatin rakyat; dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.